Usaha mencari masih diteruskan

Usaha mencari masih diteruskan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Feb – Usaha mencari seorang lelaki tempatan yang hilang dan dipercayai lemas di sungai berdekatan kawasan Pembetungan Loji Saluran Najis Mumong di sini, diteruskan lagi hari ini.

Mangsa, Awang Afendi bin Momin, 23, berbangsa Iban, dipercayai terjun untuk menyelami jalanya yang tersangkut pada batu di lokasi di mana dia bersama ayahnya menjala dalam kejadian kira-kira pukul 6:30 petang kelmarin.

Ayah mangsa, Awang Momin bin Hassan, 40, semasa ditemui Media Permata hari ini memberitahu, semasa kejadian, dari jarak pondok tempatnya berehat kira-kira 50 meter, beliau terdengar suara jeritan kuat anak lelakinya itu, lalu dia berlari untuk melihat apa yang berlaku.

“Tetapi setiba saya di tempat kejadian, anak saya sudah tidak kelihatan, selain saya hanya melihat air berbuih dan kocakkan air yang begitu kuat, saya lalu terjun untuk memberikan bantuan, kemudian saya terdengar suara daripada seorang warga Indonesia yang kebetulan memancing di kawasan itu menyuruh segera naik, lalu saya naik dan langsung tidak nampak anak saya lagi,” cerita Awang Momin dengan esakan tangisan.

“Saya kasihan mengenangkan nasib cucu-cucu saya yang ditinggalkan ayahnya dalam usia mereka yang masih kecil, dan saya serta isteri dan ahli keluarga lain berharap supaya anak kami dapat ditemui, walaupun kami tahu mungkin dia sudah tidak bernyawa lagi, kami akan berusaha berdoa dengan cara kami, supaya anak kami dikembalikan,” tambahnya.

Mangsa Awang Afendi, 23, merupakan ayah kepada dua orang anak lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.
Mangsa Awang Afendi, 23, merupakan ayah kepada dua orang anak lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.
Ayah mangsa, Awang Momin memberitahu media dengan rasa sedih, berharap agar anaknya ditemui segera.
Ayah mangsa, Awang Momin memberitahu media dengan rasa sedih, berharap agar anaknya ditemui segera.

Menurutnya lagi, mereka berdua jarang turun memancing kerana kedua-dua mereka bekerja di luar pantai dengan syarikat yang sama, tetapi beberapa hari lalu, mereka turun untuk memancing dan kelmarin ‘menahan’ pukat yang baru mereka beli, kerana merasa bosan di rumah.

Isteri mangsa, Dayang Cecillia Jessica anak Sitipatlus, 22, pula memberitahu, semasa suaminya pergi menjala kelmarin dia tidak tahu kerana pergi ke rumah ibunya.

Tetapi setelah lewat petang, hatinya tiba-tiba rasa risau, kenapa dia tidak menerima pesanan ringkas daripada suaminya, lalu menelefon suaminya, yang kemudian dijawab oleh ayah mertuanya, dan mengkhabarkan berita sedih itu, lalu dia bergegas ke tempat kejadian bersama dua orang anak lelaki mereka, masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

“Apabila saya melihat hari sudah lewat petang, saya mahu mengingatkan suami bahawa dia perlu berkemas kerana hendak pergi bertugas ke luar pantai hari ini, lalu saya menelefon hendak memberitahunya supaya pulang,” katanya.

Beliau menambah, suaminya jarang pergi memancing atau menjala kerana bekerja di luar pantai selama sebulan dan hanya bercuti untuk dua minggu, tetapi sejak tiga hari lepas, suaminya diajak oleh ayahnya untuk pergi memancing dan kelmarin mereka memasang pukat di kawasan terbabit.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Pemerintah Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaini bin Wan Ibrahim, yang mengetuai operasi mencari mangsa memberitahu, pihak bomba telah menerima maklumat mengenai kejadian daripada polis melalui talian 995, untuk membuat pemantauan dan menyiasat tentang kejadian di kawasan tersebut.

Ahli keluarga mangsa yang berkumpul berdekatan lokasi kejadian sejak malam semalam tidak berganjak kerana berharap mangsa dapat ditemui.
Ahli keluarga mangsa yang berkumpul berdekatan lokasi kejadian sejak malam semalam tidak berganjak kerana berharap mangsa dapat ditemui.
Operasi mencari para anggota dan penyelamat berserta polis masih diteruskan sehingga jam 6:30 pagi kelmarin.
Operasi mencari para anggota dan penyelamat berserta polis masih diteruskan sehingga jam 6:30 pagi kelmarin.

Berikutan itu, pihak bomba telah bertindak menurunkan perahu dan mencari di kawasan dari hujung batu kuala sungai menuju ke kawasan pembetungan di mana mangsa dipercayai jatuh, jarak pencarian sejauh kira-kira tujuh kilometer.

“Sejak malam tadi, pencarian menggunakan perahu telah dilakukan bermula pukul 10:30 malam sehingga pukul 3 pagi tadi, dan misi pencarian dihentikan sementara kemudian disambung semula pada pukul 6:30 pagi tadi sehingga pukul 12 tengah hari, kemudian diteruskan lagi bermula pukul 2 petang hingga sekarang,” jelasnya.

Bagaimanapun, kira-kira pada jam 5 petang tadi, salah seorang daripada ahli keluarga menerima panggilan telefon yang memberitahu mereka ternampak baju mangsa timbul di kawasan Kuala Balai dan pihak bomba telah bergegas ke lokasi yang dikatakan, tetapi tiada menemukan sebarang tanda.

Turut sama dalam operasi pencarian ialah anggota dari Unit Penyelam Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Begawan, namun salah seorang pegawai unit tersebut memberitahu, operasi menyelam tidak dapat diteruskan atas dasar keselamatan penyelam kerana keadaan pencemaran air.

Operasi telah disertai sama oleh Komander Stesen Balai Bomba Kuala Belait, ASFR Zulkeflee bin Awang Alimas.

Sementara itu, pihak polis melaporkan mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 malam semalam.

Ahli keluarga mangsa yang mengetahui akan kejadian itu juga telah berduyun-duyun menuju ke lokasi kejadian dan menunggu di sana sehingga hari ini, terutama ibu bapa dan isteri mangsa yang dikatakan belum pulang ke rumah sejak kejadian petang kelmarin.

ARTIKEL YANG SAMA