Usaha mencari Rooney terus dipergiat

Usaha mencari Rooney terus dipergiat

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 3 Sept – Anggota bomba yang sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa warga Brunei, Awang Rooney@Hakimi bin Abdullah Layang yang dilaporkan hilang di Sungai Pandaruan dikejutkan dengan penemuan tiga ekor sang bedal yang bersantai di tebing sungai di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba Limbang, Kurong Beki berkata, tiga ekor buaya bersaiz besar itu ditemui semasa air surut ketika melakukan operasi yang memasuki hari ketiga pencarian.

“Setakat ini kita tidak menemui apa-apa petunjuk baharu mengenai kehilangan mangsa, bagaimanapun anggota kita ada terserempak dengan tiga ekor buaya bersaiz besar pada hari ketiga pencarian sejak SAR dilancarkan 30 Ogos lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Ketua Zon Limbang, Bonny Martin Saging Mato berkata usaha mencari mangsa yang hilang diteruskan hari ini yang memasuki hari kelima pencarian sejak Ahad lepas. “Operasi mencari dijalankan sebaik menerima permohonan bantuan daripada kerajaan Negara Brunei Darussalam sebaik menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 5.25 petang Ahad lepas,” tambah beliau.

Katanya mangsa kali terakhir dilihat pada Sabtu lepas sekitar jam 7 hingga 8 malam memakai baju kemeja berwarna biru dan berseluar hijau.

Anggota-anggota bomba yang terlibat melakukan operasi pencarian. - Arissa
Anggota-anggota bomba yang terlibat melakukan operasi pencarian. – Arissa

Mangsa yang juga dikenali sebagai Tam, berusia 34 tahun di Kampung Selapon, Temburong masih gagal ditemui sehingga kini.

Bonny berkata pencarian dibahagi kepada tiga sektor iaitu sektor A, rondaan di kawasan sekitar tempat kejadian dalam radius 1 kilometer, Sektor B di sepanjang hilir Sungai Pandaruan dan Sektor C pencarian di hulu sungai tersebut.

Operasi SAR diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Mohamad Ali Mohd Salleh dan seramai tiga anggota menggunakan Scania dan sebuah bot aluminium bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam.

Agensi Lain yang terlibat dalam SAR ialah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), penduduk kampung di Daerah Temburong, Bomba & polis Negara Brunei (30 Orang).Turut berada di lokasi ialah Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi ‘G’ Bangar.

ARTIKEL YANG SAMA