Usaha menyatupadukan peniaga Brunei

Usaha menyatupadukan peniaga Brunei

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 Ogos – Dalam usaha untuk menyatupadukan serta menggabungkan peniaga-peniaga dan pengusaha Melayu, Cina dan India dalam apa jua bidang-bidang perniagaan, perusahaan, perindustrian dan perdagangan kecil dan sederhana di samping sebagai menyelaraskan kegiatan-kegiatan ekonomi di negara ini, sebuah badan dinamakan Majlis Perdagangan Kebangsaan Brunei Darussalam akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Pengasas pertubuhan badan tersebut, Dr Haji Mohd Shah bin Haji Ahmad dan Dr Haji Mohd Hatta bin Haji Zainal Abidin, dalam pertemuan bersama pihak media hari ini menjelaskan, majlis perdagangan kebangsaan itu juga bertujuan menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda dalam usaha meningkatkan kegiatan ekonomi para peniaga, pengusaha, perindustrian dan perdagangan kecil dan sederhana yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini, tanpa mengira bangsa Melayu, Cina dan India yang berstatuskan penduduk tetap.

Menurut Dr Haji Mohd Hatta, penubuhan majlis itu juga akan bekerjasama dengan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan ke arah merealisasikan hasrat dan tujuan bagi memajukan bidang-bidang perekonomian.

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menjadi wakil rasmi dan juga selaku badan muzakarah dalam segala perbincangan, permesyuaratan dan perjumpaan dengan pihak-pihak kementerian dan agensi kerajaan, selain badan-badan perniagaan di dalam dan luar negara.

“Majlis perdagangan kebangsaan ini nanti akan mengatur beberapa strategi yang menjurus ke arah mempertingkatkan lagi kemajuan perniagaan dan membantu mengembangkan ekonomi negara melalui penglibatan sumber-sumber manusia dalam kalangan para peniaga.

Dr. Haji Mohd Hatta (kanan) dan Dr Haji Mohd Shah semasa temu bual media, baru-baru ini.
Dr. Haji Mohd Hatta (kanan) dan Dr Haji Mohd Shah semasa temu bual media, baru-baru ini.

“Antara peranan yang akan dilaksanakan oleh badan ini nanti ialah menjadi perwakilan mengangkat suara permasalahan para peniaga dan juga mengatur kerjasama niaga dengan pelabur-pelabur luar negara, selain membukakan ruang dan peluang kepada kalangan peniaga-peniaga muda di negara ini, termasuk pelajar-pelajar dari institusi tinggi dan universiti yang masih belum mempunyai sebarang pekerjaan dan sebagainya,” ujarnya sambil menambah, mereka ini boleh dijadikan peniaga-peniaga yang berjaya, dan badan tersebut akan menjadi pelantar memberikan mereka latihan dan sebagainya.

Sehubungan itu, jerayawara bagi memperkenalkan dan memaklumkan kepada orang ramai khususnya para peniaga dan pengusaha di seluruh negara tentang hasrat untuk menubuhkan Majlis Perdagangan Kebangsaan Brunei Darussalam itu akan diadakan bulan ini, bermula di Daerah Brunei dan Muara pada 13 Ogos depan dengan tempat dan waktunya akan dimaklumkan kemudian, ini diikuti di Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

Jerayawara itu nanti akan dibukakan kepada kalangan peniaga-peniaga berbangsa Melayu, Cina dan India, terdiri daripada rakyat Brunei dan penduduk tetap yang mempunyai Lesen Perniagaan Pendaftaran 16/17 atau Sendirian Berhad, dan juga dibukakan kepada orang ramai yang hendak berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

Mereka yang ingin menyertai jerayawara itu nanti, bolehlah menghubungi Haji Osman bin Omar di talian 7122417 atau Awang Sulaiman di talian 8882406.

Menurut Dr Haji Mohd Hatta lagi, semasa jerayawara itu nanti, selain untuk menyampaikan taklimat, pihak penganjur juga berharap untuk mendapatkan pandangan dan persetujuan untuk penubuhan majlis berkenaan, dan di akhir jerayawara di keempat-empat daerah, mereka akan mengedarkan borang kemasukan menjadi ahli, yang akan disertakan dengan permohonan rasmi bagi pendaftaran badan itu kepada pihak Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan (ROS).

“Tiada gunanya jika menghadapkan dulu permohonan kelulusan dan perlembagaan pertubuhan itu jika tidak mendapat sambutan daripada orang ramai terutama kalangan peniaga-peniaga berbilang bangsa di negara ini.

“Kami membukakan penyertaan ahli daripada semua bangsa Melayu, Cina dan India, asalkan mereka mempunyai Lesen Berdaftar 16/17 atau Sendirian Berhad, dan ahli-ahli peniaga Cina juga adalah amat dialu-alukan untuk terlibat sama dalam badan ini nanti, kerana dengan adanya kombinasi itu nanti akan dapat mengembangkan lagi ekonomi, strategi perniagaan, pengurusan kewangan dan sebagainya.

“Kami juga berharap, cadangan untuk menubuhkan itu nanti akan mendapat reaksi positif daripada kalangan peniaga dan pengusaha-pengusaha Melayu, Cina, India serta penduduk tetap yang lainnya,” tambah beliau.

Sementara itu, Dr Haji Mohd Shah pula menjelaskan, penubuhan majlis perdagangan kebangsaan itu nanti, sesuai dengan hasrat kerajaan bagi menyediakan pelantar kepada kalangan usahawan, sama ada yang sudah berpengalaman atau peniaga muda serta yang baru hendak berjinak-jinak dengan bidang perniagaan.

“Kami tidak berhasrat untuk melibatkan hanya elit-elit perniagaan, tetapi lebih kepada bagi memudahkan peniaga-peniaga muda dalam sama-sama melibatkan diri, dan ini juga adalah bagi membantu pihak kerajaan merealisasikan Wawasan Negara 2035.

“Bidang perniagaan nanti bukan hanya fokus kepada bidang minyak dan gas, tetapi juga melibatkan perniagaan seperti kedai runcit, pasar, tamu, restoran, kilang pakaian, makanan, perikanan, pertanian, pembekal, pemborong, pengangkutan, agensi pelancongan dan sebagainya, (milik) rakyat Brunei dan penduduk tetap dengan pembayaran masuk ahli hanya $12 sepanjang hayat,” jelasnya.

Dalam langkah mengatur strategi bagi jangka masa panjang, beliau berkata, mereka akan turut membuat post-mortem, bagi mengenal pasti kemerunduman perniagaan, dan yang paling penting adalah bagaimana untuk membentuk peniaga-peniaga mencapai kejayaan selaras dengan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan harapan agar proses meluluskan badan itu nanti akan berjalan lancar.

ARTIKEL YANG SAMA