Usaha menyelamat digiatkan, kematian cecah 530 orang

SARPOL-E-ZAHAB, Iran, 14 Nov – Para penyelamat hari ini menggunakan jengkaut dan jentera berat untuk menggali serpihan bangunan yang runtuh akibat satu gempa bumi kiat di sempadan antara Iran dan Iraq yang membunuh lebih 530, dengan wanita-wanita bertangisan apabila penyelamat menemui mayat-mayat baru.

Kerja-kerja menjerihkan itu bermula pada waktu subuh di bandar Kurdish, Sarpol-e-Zahab di wilayah barat Iran, Kermanshah yang paling teruk terjejas dalam kejadian gempa bumi 7.3 skala Richter itu.

Kermanshah, wilayah hampir dominan Kurdish terletak di Pergunungan Zagros yang membentang sepanjang sempadan dengan Iraq, mengalami kerosakan teruk akibat gegaran susulan daripada gempa bumi pada malam Ahad yang menggegarkan 14 daripada 31 wilayah di negara itu.

Kedua-dua penyelamat dan penduduk tempatan berdiri di atas runtuhan kompleks-kompleks apartmen, mencari-cari melalui serpihan. Mereka menggunakan selimut tebal untuk mengusung mayat.

Hospital di Sarpol-e-Zahab juga rosak teruk dan tentera terpaksa mendirikan hospital lapangan, meskipun ramai yang cedera dipindahkan ke bandar-bandar lain termasuk Tehran.

Seorang wanita menangis di hadapan kediamannya yang musnah dalam gempa bumi membinasakan di Sarpol-e-Zahab. -AP

Gempa bumi juga merosakkan garison tentera dan bangunan di bandar sempadan serta mengorbankan sejumlah askar, menurut laporan.

Terdapat kebimbangan lebih banyak mayat dijangka ditemui dalam runtuhan di Sarpol-e-Zahab dan kampung pedalaman lain di wilayah Kermanshah. Mohamad Ali Monshizadeh, jurucakap bagi jabatan forensik wilayah mengatakan, kemungkinan sehingga 150 lagi yang dikebumikan oleh ahli keluarga selepas gempa bumi di kampung-kampung pedalaman yang tidak dicatatkan dalam pengiraan rasmi, agensi berita separa rasmi, ISNA melaporkan.

Palang Merah Iran juga mengatakan ia khuatir lebih banyak yang mati di kampung pedalaman, meskipun operasi menyelamat di bandar-bandar besar boleh ditamatkan tidak lama lagi.

Presiden Hassan Rouhani tiba di wilayah Kermanshah hari ini untuk meninjau sendiri kemusnahan dan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif mengucapkan terima kasih kepada negara-negara asing yang menawarkan bantuan namun menulis dalam Twitternya: “Buat masa sekarang, kami dapat menguruskannya dengan sumber kami sendiri.” – AP