Usaha murni ukir senyuman anak yatim

Usaha murni ukir senyuman anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Kehadiran bulan penuh keberkatan, Ramadan, sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana keistimewaan dan kelebihannya sehingga ia dikenali sebagai ‘penghulu segala bulan’.

Tidak kira tua atau yang muda, mereka menjadikannya sebagai medan menambahkan pahala dan ganjaran hebat yang dijanjikan Allah S.W.T. sepanjang bulan itu selain menjadi landasan terbaik mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga.

Akan tetapi, segala kemesraan dan keseronokan menyambut bulan rahmat ini di samping insan bergelar ibu dan ayah tidak mungkin dapat dirasai bagi mereka yang tergolong dalam kalangan anak yatim piatu.

Untuk itu, Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak dengan kerjasama Battle Pro Event bersama Jabatan Daerah Brunei dan Muara melaksanakan projek untuk menambah Tabung Anak-anak Yatim Daerah Brunei dan Muara dengan mengadakan Bazar Amal 3.0 yang membawa konsep ‘1 Baju 1 Senyuman’ di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di mana ia akan berlangsung hingga 7 April depan.

Perasmiannya pagi tadi telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Tetamu kehormat melancarakan Expo Amal ‘1 Baju 1 Senyuman’.
Tetamu kehormat melancarakan Expo Amal ‘1 Baju 1 Senyuman’.
Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara yang hadir selaku tetamu kehormat.
Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara yang hadir selaku tetamu kehormat.
Tetamu kehormat menyaksikan petak jualan Expo Amal ‘1 Baju 1 Senyuman’.
Tetamu kehormat menyaksikan petak jualan Expo Amal ‘1 Baju 1 Senyuman’.

Melalui acara ini, orang ramai berpeluang menderma pakaian sempena Hari Raya kepada anak-anak yatim dengan menempah pembuatannya melalui dua buah syarikat tekstil dan syarikat jahitan di bazar berkenaan.

Pengarah Pemasaran Battle Pro Event Management, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Syah ketika ditemui menjelaskan, Bazar Amal 2016 seperti bulan-bulan lepas adalah untuk menjana Tabung Anak-anak Yatim Daerah Brunei dan Muara, tetapi bazar amal ketiga ini lain daripada yang lain kerana ia membantu anak-anak yatim dengan inisiatif Satu Baju Satu Senyuman.

“Kami memberikan peluang kepada orang ramai untuk beramal sekali gus membantu anak-anak yatim dengan menempah baju raya dengan harga biasa iaitu $17 bagi baju lelaki dan $20 bagi baju kurung.

“Setiap tempahan, satu baju cara melayu atau pun baju kurung, anak-anak yatim secara tidak langsung akan menerima satu baju untuk mereka.”

Jelas beliau lagi, pada acara ini hanya Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak sahaja yang menyertai projek ‘1 Baju 1 Senyuman’, manakala peniaga yang lain hanya memberikan sebanyak 20 peratus hasil daripada bayaran sewa petak di bazar berkenaan.

“Projek ‘1 Baju 1 Senyuman’ ini adalah inisiatif untuk memberikan anak-anak yatim menyambut Hari Raya dengan meriah.

“Beberapa tahun lalu, anak-anak yatim hanya diberikan kain tetapi usaha itu menyukarkan mereka untuk memotong baju Melayu di mana sebilangan daripada mereka berasal daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” tambah beliau.

pg03_160405_f

pg03_160405_e

Antara petak jualan yang terdapat di Expo Amal ‘1 Baju 1Senyuman’.
Antara petak jualan yang terdapat di Expo Amal ‘1 Baju 1Senyuman’.

Menurut beliau, setakat ini, seramai 8,000 anak-anak yatim yang berdaftar di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, dan mereka berharap akan dapat mengumpul sekurang-kurangnya 1,000 atau 2,000 pasang baju Melayu dan baju kurung untuk didermakan kepada mereka.

Manakala itu, Pengarah Urusan Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak ketika ditemu bual Media Permata berkata, sumbangan ini merupakan derma ikhlas syarikat untuk berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Inisiatif ‘1 Baju 1 Senyuman’ ini juga menggalakkan mana-mana syarikat agar mengamalkan bersedekah kerana dengan bersedekah kepada anak-anak yatim akan menambahkan ukhuwah, takaful dan berkasih sayang sesama manusia, tambahnya.

Sementara itu, sebilangan pengunjung bazar yang ditemui berkata, dengan adanya bazar amal ini, ia memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menempah baju sambil membantu anak-anak yatim.

Selain itu, ia dapat membantu mempromosikan pengusaha kecil dan dalam untuk mempromosi produk dan barangan mereka kepada pengunjung.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk memberi sokongan terhadap pengusaha kecil dan sederhana di negara ini dengan berbelanja sambil beramal menceriakan anak-anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA