Usaha pemuliharaan bagi melindungi kuda laut di Kemboja

Usaha pemuliharaan bagi melindungi kuda laut di Kemboja

PULAU ACH SHE – Sejenis spesies hidupan marin memiliki ketinggian tujuh inci, kepala berbentuk seperti kuda dan ekor panjang iaitu kuda laut sering bersembunyi di celah gelap di kawasan luar pantai di Kemboja.

Spesies kuda laut mula dipercayai telah mula ditemui sejak 40 juta tahun lalu dan memang diketahui cukup bijak untuk melindungi dirinya daripada haiwan pemburu lain dengan kaedah samaran.

Dua orang penyelam telah mengongsikan pengalaman menarik ketika menyelam di kawasan air keruh apabila berjaya melihat sendiri sepasang kuda laut jantan dan betina di habitat asalnya berdekatan dengan terumbu karang dan rumpai laut.

Laut tropika di seluruh kawasan kepuluan itu sering menjadi habitat kepada hidupan marin kecil termasuk kuda laut yang turut dikategorikan sebagai binatang terancam dan usaha wajar dilaksanakan bagi melindungi kehidupan spesis marin yang sangat ikonik itu daripada terus pupus.

“Spesis kuda laut menghadapi pelbagai ancaman besar,” jelas Paul Ferber, seorang ahli pemuliharaan alam sekitar dari British yang telah menetap di Pulau Ach She selama tiga tahun untuk mengkaji genus Hippocampus dan sekaligus cuba untuk melindungi alam sekitar akibat daripada aktiviti kapal pukat tunda pemburuan haram, perangkap ketam dan sebarang aktiviti pemburuan haram yang mensasarkan kuda laut dan beberapa spesis hidupan laut yang lain.

Ahli biologi marin yang giat melaksanakan aktiviti penyelidikan di Puiau Ach She.
Ahli biologi marin yang giat melaksanakan aktiviti penyelidikan di Puiau Ach She.

Ferber juga turut mendengar khabar bahawa ancaman utama kepada spesis hidupan laut yang kecil adalah kesan daripada aktiviti penangkapan ikan yang dilakukan oleh nelayan dari negara jiran seperti jaring yang dipasangkan pada kapal pukat tunda ada kalanya turut sama menangkap kuda laut di samping ikan dan hidupan marin yang lain.

“Kapal pukat tunda besar yang turut dilengkapi dengan sistem jaring eletrik turut boleh memerangkap pelbagai hidupan marin termasuk yang tersembunyi di dasar laut,” jelas Ferber.

Ferber seringkali cuba untuk meminta bantuan daripada Jabatan Perikanan di Kemboja dengan harapan untuk melakukan rondaan bersama bot laju bagi menangkap individu yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram, namun usaha tersebut pada dasarnya belum menunjukkan sebarang kesan yang positif.

Sebelum ini, Ferber turut pernah mengikuti latihan anggota polis di Britain turut menceritakan pengalaman ngeri ketika melakukan rondaan bersama dengan teman-temannya tanpa bantuan daripada pihak berkuasa.

Pada ketika itu, mereka hanya bersenjatakan sepucuk pistol dan tidak menyedari bahawa nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram itu sendiri turut memiliki senjata berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan mereka.

Lazimnya, kuda laut yang berjaya ditangkap akan dijual untuk dijadikan sebagai bahan perubatan tradisional di beberapa buah negara Asia seperti Taiwan, Hong Kong, Vietnam dan China.

Amanda Vincent, seorang ahli biologi marin dari Kanada dan pengasas kepada projek kuda laut telah menganggarkan bahawa lebih daripada 20 juta kuda laut yang ditangkap secara haram pada setiap tahun.

Ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab telah menangkap kuda laut tersebut untuk dijadikan sebagai perhiasan malah ada juga yang meletakkannya di akuarium untuk dijadikan sebagai binatang peliharaan di Amerika Syarikat.

Data yang diperoleh daripada CITES, sebuah kawalan antarabangsa binatang peliharaan memperlihatkan bahawa lebih daripada 630,000 ekor kuda laut telah diimport di Amerika Syarikat dari tahun 2004 hingga 2014.

Dalam perubatan tradisi China mempercayai bahawa khasiat yang terkandung dalam kuda laut tidak kira diproses menjadi serbuk atau dikeringkan dapat menjadi penawar kepada penyakit buah pinggang dan masalah keguguran rambut walaupun tidak ada sebarang kajian saintifik pernah dilakukan.

Kuda laut yang telah dikeringkan juga dijual dengan meluas di beberapa buah negara.
Kuda laut yang telah dikeringkan juga dijual dengan meluas di beberapa buah negara.
Anak Ferber juga turut menunjukkan minat dalam menerokai spesis hidupan marin seperti kuda laut.
Anak Ferber juga turut menunjukkan minat dalam menerokai spesis hidupan marin seperti kuda laut.

Lawatan ke beberapa buah kedai perubatan tradisi China di Bangkok dan Phnom Penh telah memperlihatkan bahawa kuda laut jelas laris terjual dan mendapat permintaan yang tinggi.

Kebanyakan pakar enggan untuk melakukan ramalan berhubung mengenai kepupusan spesis hidupan marin tersebut namun tetap bersetuju bahawa jumlahnya juga kian berkurangan.

“Jumlah kuda laut semakin meningkat di kawasan yang telah dipulihara ini namun tetap menurun di beberapa tempat yang lain,” jelas Ferber.

Di Pulau Ach She, Pertubuhan Pemuliharaan Marin Kemboja yang diketuai oleh Ferber telah menubuhkan sebuah stesen asas yang dibiayai oleh Tabung Pemuliharaan Antarabangsa Kanada bagi memudahkan perhubungan di antara isterinya yang berbangsa Thailand, lima orang anaknya, pekerjanya, ahli sukarelawan muda dan ahli biologi marin yang berhasrat untuk melakukan penyelidikan di kawasan perairan itu.

Rata-rata aktiviti penangkapan ikan secara haram yang dijalankan di sekitar 80 kilometer persegi telah menurun secara mendadak berikutan daripada hasil rondaan yang giat dilaksanakan di mana kawasan tersebut juga dipercayai bakal menjadi pemuliharaan zon marin menjelang pertengahan tahun 2017.
Lebih daripada 30 ekor kuda laut telah berjaya untuk diberikan tanda di mana beberapa pewarna tertentu telah disuntik ke bahagian badan kuda laut itu bagi membolehkan ia untuk dikesan dan mengetahui kesesuaiannya terhadap habitat yang berada di sekelilingnya.

Walaupun Ferber tidak memiliki sebarang latihan akademik tertentu namun usaha yang telah dilaksanakannya dipercayai akan dapat menunjukkan hasil yang cemerlang melalui kajian yang dilakukan secara berterusan.

Ferber turut memuji sokongan kerjasama dari para pegawai di Phnom Penh terutama daripada Jabatan Perikanan dalam sama-sama membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang jelas mengancam keselamatan hidupan laut yang bersaiz kecil seperti kuda laut. – AP