Usaha peroleh keputusan cemerlang

Usaha peroleh keputusan cemerlang

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Penganjuran majlis Solat Hajat, membaca Surah Yasin dan ceramah motivasi mampu meningkatkan lagi motivasi murid-murid supaya mempunyai pemikiran positif untuk berusaha dengan lebih gigih yang mampu untuk menjadi pendorong memperoleh keputusan cemerlang.

Perkara tersebut ditekankan oleh Pemangku Guru Besar Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Awang Alimas bin Haji Mohd Ali ketika majlis tersebut diadakan bagi calon-calon Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) sekolah berkenaan yang diadakan di dewan Sekolah Rendah YSHHB, kelmarin.

Beliau seterusnya menambah, dengan menunaikan Solat Hajat, membaca Yasin dan memanjatkan doa ke hadrat Allah beramai-ramai merupakan satu usaha dan tawakal kepada Allah.

“Dengan kesempurnaan majlis ini, ia diharap dapat memperkukuhkan ikatan kerjasama antara tiga komponen iaitu pelajar, ibu bapa dan penjaga serta guru,” jelasnya.

Suasana pada Majlis Solat Hajat, membaca Surah Yasin dan ceramah motivasi.
Suasana pada Majlis Solat Hajat, membaca Surah Yasin dan ceramah motivasi.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 350 orang pelajar termasuk ibu bapa, penjaga dan guru-guru itu antara lain bertujuan untuk membudayakan sifat bertawakal dan berdoa seterusnya memberikan kesedaran kepada pelajar akan pengorbanan ibu bapa mereka, di samping memberi kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan peperiksaan PSR untuk masa depan pendidikan mereka.

Turut hadir ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah bin Pengiran Haji Mohammad Hakimmudin.

Majlis tersebut diserikan dengan ceramah motivasi yang bertajuk ‘Yahoo…. Esok PSR!’ yang disampaikan oleh Kaunselor di Unit Kaunseling dan Kerjaya, Pengiran Hamisomera bin Pengiran Haji Othman dan Haji Muhd Khairul Izam bin Sulaiman.

ARTIKEL YANG SAMA