Usaha Persekutuan Dayak terbitkan buku masakan dapat pujian

Usaha Persekutuan Dayak terbitkan buku masakan dapat pujian

KUCHING, 25 Sept – Usaha Persekutuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) memperkenalkan masakan tradisional masyarakat itu kepada dunia mendapat pujian.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan langkah itu sebagai suatu sumbangan penting. Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku 72 halaman berjudul ‘Sarawak Kitchen: Indigenous Flavours of the Federation’ di sini hari ini.

Buku itu mengandungi 74 resipi daging, ikan dan sayur-sayuran hutan, termasuk mengenai penyediaan tuak Dayak. Pada majlis itu, Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar negeri, meluluskan geran RM50,000 kepada persekutuan itu.

Terdahulu, dalam ucapannya, presiden SIDS Tan Sri Empiang Jabu berkata penerbitan buku itu merupakan impian yang menjadi kenyataan setelah mengambil masa lama untuk mengumpul resipi yang termuat di dalamnya.

Menurut beliau, chef dan penerbit program pengembaraan masakan televisyen terkenal dunia, Anthony Bourdain, turut mencuba makanan Dayak ketika beliau melawat Skrang di Bahagian Betong beberapa tahun lepas. – Bernama