Usaha pindah penghijrah

Usaha pindah penghijrah

ATHENS/IDOMENI, 13 Mac (Reuters) – Greece meningkatkan usahanya kelmarin untuk memindahkan beribu-ribu penghijrah berhampiran sempadan dengan Macedonia ke kem perlindungan, ketika penularan jangkitan menjadi satu kebimbangan dengan seorang di bandar khemah itu telah didiagnosis dijangkiti Hepatitis A.

Terperangkap dalam keadaan yang sangat kotor berhampiran bandar Idomeni sempadan utara, sekitar 12,000 orang, di antara mereka ribuan kanak-kanak, sedang menunggu untuk menyeberangi sempadan walaupun Macedonia dan negara-negara lain di sepanjang laluan yang digelar Barat Balkan telah menutup sempadan mereka.

Perkelahian meletus di kem itu beberapa hari kebelakangan ketika para penghijrah yang melarat dan bergelut untuk mencari makanan serta kayu api, sementara ramai yang tidur di tempat terbuka, sering berhujan di tengah-tengah suhu yang rendah.

Pihak berkuasa Greece mengedarkan risalah di Idomeni pada Sabtu memaklumkan orang ramai bahawa laluan utama ke utara Eropah telah ditutup. Risalah itu menggesa mereka untuk bergerak ke pusat bangunan dan hospital di seberang Greece yang telah didirikan untuk tujuan tersebut, menurut pegawai kerajaan dari badan penyelaras pengurusan krisis pelarian negara itu.

“Tujuan kami bukan saja untuk membebaskan Idomeni daripada para penghijrah, malah untuk melihat tiada lagi kem wujud di Idomeni. Terdapat struktur, kenapa orang ramai seharusnya tinggal di kawasan lumpur?” katanya.

Para penghijrah memanaskan badan di sekeliling api di sempadan antara Greece dan Macedonia pada 13 Mac, di kem buatan berhampiran kampung Idomeni, Greece. – AFP
Para penghijrah memanaskan badan di sekeliling api di sempadan antara Greece dan Macedonia pada 13 Mac, di kem buatan berhampiran kampung Idomeni, Greece. – AFP

Risalah itu juga akan diedarkan di pelabuhan dan di pulau-pulau untuk tidak menggalakkan mereka pergi ke Idomeni, kata pegawai kerajaan.

“Greece akan menawarkan anda penginapan, makanan dan penjagaan kesihatan,” menurut risalah yang ditulis dalam Bahasa Arab, Farsi dan Pashtun.

Timbalan Menteri Pertahanan Dimitris Vitsas, yang bertanggungjawab menyelaras usaha Greece untuk menangani krisis pelarian mengatakan, 400 orang telah dipindahkan dari Idomeni ke kem pada Jumaat dan bilangannya akan meningkat beberapa hari akan datang.

“Ramai daripada mereka sedang menunggu keputusan daripada sidang kemuncak EU pada 17 Mac. Kami memberitahu bahawa tanpa mempedulikan keputusan ini, kami juga telah menyediakan tiga kem yang sangat dekat (untuk menempatkan mereka),” ujarnya kepada televisyen Greek Mega.

Para pemimpin EU dan Turki dijangka akan bertemu lagi pada Khamis dan Jumaat untuk memeterai perjanjian untuk mencegah penghijrah haram bergerak dari Turki menuju Eropah menerusi Greece.

ARTIKEL YANG SAMA