Usaha realisasi Halalan Tayyiban

Usaha realisasi Halalan Tayyiban

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban (SAPPHAT) 2016 anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Industri Halal Global (GHID), Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri telah melabuhkan tirainya pada majlis penutup di Auditorium UNISSA, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis penutup itu telah menyaksikan pembentangan kertas resolusi bagi seminar berkenaan yang telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i selaku pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Dr. Azme bin Haji Matali.

Dr. Azme menyatakan bahawa sepanjang seminar ini berlangsung selama dua hari beberapa resolusi telah pun ditetapkan, antaranya ialah seminar ini mendokong penuh dan taat setia tidak berbelah bagi terhadap hasrat Baginda Sultan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Selain itu juga, seminar ini mengingatkan bahawa mentaati suruhan dan tegahan Allah SWT dalam hal ehwal Halalan Tayyiban adalah syariah itu sendiri dan merupakan undang-undangNya yang telah ditetapkan untuk sekalian manusia agar mereka mendapatkan kebajikan hidup di dunia ini dan di akhirat kelak.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa menerima resolusi SAPPHAT 2016.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa menerima resolusi SAPPHAT 2016.

Semua pihak juga diseru agar bersungguh-sungguh dalam berusaha untuk merealisasikan pelaksanaan konsep pemakanan dan perkhidmatan Halalan Tayyiban bukan hanya dalam kalangan masyarakat Islam malah dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Selain itu juga, hasil kajian mendapati setiap negara memiliki badan autoriti pensijilan halal yang bersandarkan kepada keperluan setiap negara, mempunyai standard halal yang tertentu dan mempunyai inisiatif untuk memelihara bekalan rantaian makanan, logistik dan perkhidmatan Halalan Tayyiban.

Menurut beliau lagi, keseluruhan Halalan Tayyiban yang diusahakan oleh setiap negara mempunyai kekuatan yang tersendiri di samping meningkatkan mutu produk halal seiring dengan syariat Islam untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat pengguna.

Resolusi seterusnya yang disentuh oleh beliau adalah cadangan agar masyarakat antarabangsa menyelaraskan pengertian alkohol agar tidak berlaku sebarang kepincangan dalam kehidupan masyarakat.

Mengenai Umum al-Balwa, resolusi seminar menyatakan bahawa ia tidak diaplikasikan secara meluas dalam menentukan piawaian hukum halal dan haram sesuatu produk dan perkhidmatan. Penyelidikan berkenaan Umum al-Balwa boleh dikembangkan terhadap isu-isu baru yang muncul seiring dengan penggunaan teknologi-teknologi baru dalam industri pembuatan produk makanan dan minuman.

Resolusi juga menyatakan tentang penyebaran maklumat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan makanan halal dan haram untuk dipertingkatkan bagi menguatkan kefahaman dan amalan pelajar terhadap konsep makanan halal khasnya dan produk perkhidmatan Halalan Tayyiban amnya.

Pihak-pihak yang berkenaan dengan industri Halalan Tayyiban juga digesa agar mengambil berat terhadap proses pensijilan halal kerana ia merangkumi proses rantaian makanan halal, struktur premis makanan yang mengikut piawaian dan kawalan kualiti dari pelbagai aspek.

Dr. Azme juga menyeru agar semua pihak sama-sama memperkasakan usaha ke arah membangkitkan kesedaran para usahawan dalam mengambil cakna pensijilan halal dan menggesa agar pihak berkuasa dan pengamal dalam industri Halalan Tayyiban (produk dan perkhidmatan) mempersatukan langkah dalam mewujudkan kepiawaian dan persamaan agar pelaksanaan undang-undang Allah SWT semakin terserlah, diminati dan dijadikan pilihan masyarakat antarabangsa.

Resolusi itu juga mendokong untuk menjadikan UNISSA sebagai pusat penyelidikan produk dan perkhidmatan Halalan Tayyiban terulung dalam negara dan kawasan serantau.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan penyerahan Resolusi SAPPHAT 2016 kepada tetamu kehormat majlis yang telah disampaikan oleh Ketua Pembangunan Industri Halal Global, Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Bersama, Haji Sabri bin Haji Mohd Taha.

ARTIKEL YANG SAMA