Usaha salur maklumat luas mengenai ASEAN

Usaha salur maklumat luas mengenai ASEAN

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Jerayawara Kenali ASEAN telah diteruskan lagi ke Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Kampung Salambigar yang dihadiri oleh seramai 750 orang pelajar Tahun 7 hingga 9 yang diadakan di Dewan Darussalam, sekolah tersebut, hari ini.

Jerayawara anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI turut dihadiri tetamu kehormat iaitu Guru Kanan CCA, sekolah berkenaan, Awang Mohd Yusof bin Awang Besar.

Taklimat mengenai ASEAN telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas II, Awang Abdul Karim bin Hamdan selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Penerangan.

Taklimat mengetengahkan maklumat mengenai Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Pengetahuan ini wajar diketahui oleh para penuntut bagi meningkatkan kesedaran tentang perkembangan negara di mata serantau menjadi pencetus semangat bagi mereka agar dengan lebih gigih untuk memajukan tanah air agar Wawasan Brunei 2035 dapat direalisasikan.

Salah seorang pelajar Sekolah Menengah Rimba 1 ketika menjawab soalan kuiz Kenali ASEAN.
Salah seorang pelajar Sekolah Menengah Rimba 1 ketika menjawab soalan kuiz Kenali ASEAN.

Manakala kelmarin, lebih 500 orang pelajar Tahun 7 hingga 9 dari Sekolah Menengah Rimba 1 (SMR1), telah mendengarkan taklimat Jerayawara Kenali ASEAN anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI.

Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara yang diadakan di dewan sekolah berkenaan ialah Timbalan Pengetua SMR1, Dayang Norjalina binti Haji Jaafar.

Turut hadir Awang Abdul Karim bin Hamdan. Pada jerayawara itu, taklimat mengenai ASEAN dan Wawasan 2035 yang selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

Ia dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar-pelajar sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para pelajar mengetahui mengenai ASEAN dengan menanamkan kesedaran dan rasa milik para pelajar sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Selain taklimat, para pelajar sekolah juga turut menyertai kuiz kenali ASEAN yang mana 10 daripada mereka telah menjawab dengan betul dan berjaya memenangi hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar untuk sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan golongan penuntut di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA