Usaha selamatkan seni kraftangan Afghanistan daripada kepupusan

KABUL – Seni penghasilan kraftangan seramik, kaligrafi dan potongan permata merupakan warisan turun-temurun kerajaan Afghanistan. Ia bermula sejak Kabul, ibu negara itu menjadi Laluan Sutera dalam kalangan para pedagang.

Namun, peperangan yang tercetus tidak hanya memusnahkan laluan itu tetapi menyebabkan kehilangan hasil produk kraftangan tersebut. Kini, 16 tahun selepas kejatuhan rejim Taliban, Yayasan Turquoise Mountain kembali ke lokasi Laluan Sutera itu.

Mereka berjaya menemui beberapa tukang yang berkemahiran untuk menghasilkan semula kraftangan itu. Individu yang berkemahiran itu turut membantu yayasan tersebut dengan berkongsi kemahiran bersama tukang lain dalam usaha memelihara produk warisan negara berkenaan.

Selain itu, yayasan tersebut turut membantu artis seni berkenaan mempamerkan hasil karya mereka di pasaran antarabangsa. Bangunan-bangunan warisan yang menjadi lokasi penghasilan seramik, tulisan kaligrafi dan pertukangan kayu di Laluan Sutera itu juga telah dipulihkan.

“Ketika kami mula-mula melaksanakan projek ini, tidak ramai individu yang berkemahiran. Kebanyakan daripada mereka telah meninggalkan negara ini.

Seorang pelajar Afghanistan berlatih membuat ukiran pada sebuah miniatur semasa kelas kaligrafi di Turquoise Mountain Foundation di Mourad Khanis, Kabul. – AFP
Sekumpulan pelajar Afghanistan sedang mengukir kayu semasa kelas yang diadakan di Turquoise Mountain Foundation. – AFP

“Kami terpaksa bermula dengan hanya beberapa orang yang berkemahiran dan ia adalah satu permulaan yang sukar,” kata pengarah operasi yayasan itu, Abdul Wahid Khalili.

Kabul pernah menjadi perhentian utama untuk pedagang satu masa dahulu dan ia terkenal dengan produk kraftangan.

Namun, pergolakan yang melanda negara itu menyebabkan lokasi Laluan Sutera yang terletak di daerah tertua di Kabul iaitu Mourad Khani tidak terjaga serta ditimbuni sampah sarap.

Setelah yayasan itu memulakan projek untuk membangunkan semula kawasan tersebut pada tahun 2006, mereka terpaksa membersihkan kawasan berkenaan.

“Lebih 50 tahun kawasan itu dilimpahi dengan sampah sarap.

“Kami membersihkan kawasan ini dan kemudiannya melatih generasi baharu dalam penghasilan produk kraftangan ini,” jelas Abdul Wahid.

Selepas beberapa tahun, semakin ramai penduduk tempatan yang mahir dan turut serta menghasilkan kraftangan itu, sekali gus dapat memelihara warisan negara yang hampir hilang.

Projek yang dilaksanakan oleh yayasan itu telah dimulakan oleh diplomat Britain, Rory Stewart dan disokong oleh Putera Charles. Mereka berjaya melahirkan kira-kira 5,000 tukang yang mahir menghasilkan kraftangan itu.

Ia memberi nafas baharu di kawasan Murad Khani apabila beratus-ratus peniaga menjual hasil kraftangan seperti seramik, tulisan khat, lukisan dan produk-produk kayu.

Pelajar Afghanistan sedang belajar dan membuat latihan kaligrafi semasa satu kelas di Turquoise Mountain Foundation. – AFP
Sekumpulan pelajar Afghanistan sedang melakukan kerja-kerja mereka pada barang kemas semasa kelas pembelajaran di Turquoise Mountain Foundation. – AFP

Dalam usaha mencari individu yang berminat untuk belajar menghasilkan kraftangan itu, yayasan tersebut terpaksa mengetuk pintu rumah di setiap kampung.

Yayasan itu kini telah mengupah 30 tukang yang mahir menghasilkan produk-produk kraftangan untuk memberi latihan kemahiran kepada pelajar yang berminat.

“Ini adalah satu warisan negara kami dan ia penting untuk mempunyai generasi muda yang mewarisi bakat ini agar terus memelihara budaya kami,” jelas salah seorang pengasas yayasan itu, Wakil Abdul Aqi Ahmad, 64.

Kini, ramai generasi muda yang berminat untuk mempelajari kemahiran itu dan yayasan tersebut perlu melakukan proses pemilihan dengan lebih ketat. Lebih daripada 500 calon memohon setiap tahun, namun hanya 50 orang diambil pada setiap sesi.

Pengarah Yayasan Rurquoise Mountain di Afghanistan, Natrah Stroupe berkata, sesiapa sahaja boleh memohon dan pelajar yang terpilih akan dilatih sehingga mahir.

Pelatih akan dilatih selama tiga tahun dan tempat tinggal serta makanan akan diberikan kepada pelatih yang datang dari wilayah yang jauh.

Tambah Stroupe, 80 peratus graduan dari pusat latihan itu akan memulakan perniagaan sendiri dan bekerja dengan pemilik-pemilik pusat kraftangan selepas tamat pengajian.

Selain itu, beberapa pelajar kemahiran pertukangan kayu diberi tanggungjawab untuk menghiasi istana di London manakala tukang emas menjayakan minggu fesyen di New York. – AFP