Usaha selamatkan Syria berpindah ke Rusia

Usaha selamatkan Syria berpindah ke Rusia

MOSCOW, 3 Mei (AFP) – Usaha untuk menyelamatkan gencatan senjata Syria akan dialih ke Moscow hari ini, tatkala bandar kedua negara Aleppo berpulih daripada pertempuran selama seminggu yang membunuh beratus orang awam.

Sehari selepas Setiausaha Negara AS John Kerry melancarkan satu usaha terdesak di Geneva untuk memberikan nafas kepada gencatan senjata, Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dijangka akan bertemu dengan duta PBB Staffan de Mistura di ibu negara Rusia.

Gencatan senjata berusia dua bulan yang dibroker oleh Amerika Syarikat dan Rusia itu menghadapi risiko teruk dan Kerry berkata semalam Washington dan Moscow telah mencatat kemajuan dalam usaha untuk membendung pertumpahan darah itu.

Kerry memberikan beberapa komen positif beliau selepas bertemu dengan de Mistura di Geneva, berkata konflik “berada di luar kawalan dan amat membimbangkan.”

AS dan Rusia telah bersetuju untuk menambah jumlah pengawas gencatan senjata yang berpangkalan di Geneva, beritahu Kerry kepada wartawan, berjanji akan berusaha “dalam tempoh beberapa jam akan datang” untuk mengawal keganasan di darat.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov (kanan) berjumpa dengan duta PBB Staffan de Mistura di Moscow. - AFP
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov (kanan) berjumpa dengan duta PBB Staffan de Mistura di Moscow. – AFP

Di sekitar Aleppo, pertempuran selama seminggu telah membunuh lebih daripada 250 orang.

Kerry menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad sengaja mensasarkan tiga buah klinik dan sebuah hospital pada minggu lalu.

“Serangan ke atas hospital ini adalah tidak berperikemanusiaan,” kata beliau. “Dan ia perlu dihentikan.”

Pergolakan telah reda pada lewat semalam, sekaligus membenarkan sesetengah penduduk keluar di jalan raya, kata wartawan AFP di Aleppo, malah ada di antara mereka membuka kedai.

Penjual sayur Abu Nazem berkata beliau tidak bekerja sepanjang minggu lalu disebabkan bimbang serangan udara.

“Saya memutuskan untuk kembali bekerja hari ini namun meskipun keadaan tenang, saya masih berasa takut.

“Ada kalanya saya terdengar motosikal melepasi dan saya terus bersembunyi disebabkan saya fikir ia adalah kapal terbang tentera,” beritahunya kepada AFP.