Usaha strateg...

Usaha strategik bantu pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Program Riayah Wa Mahabbah PSR bermatlamat membantu para pelajar yang memerlukan pendidikan yang sewajarnya serta untuk memastikan tidak ada pelajar yang ketinggalan dari segi pencapaian pendidikan.

Program itu tidak hanya tertumpu pada pendidikan akademik sahaja tetapi para pelajar turut dididik dengan kemahiran, disiplin dan sahsiah diri untuk menjadi pelajar yang berkemahiran, komited, bertanggungjawab serta berdikari.

Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh berkata demikian pada Majlis Pendaftaran Program Riayah Wa Mahabbah PSR 2017 yang berlangsung di Asrama Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB), Gadong, hari ini.

Beliau menerangkan lagi bahawa program itu merupakan salah satu usaha strategik Kementerian Pendidikan untuk mengurangkan isu ketidakhadiran dan menumbuhkan faktor sosial yang baik bagi menjana pencapaian Wawasan 2035.

Pada majlis itu juga, beliau menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan berharap supaya para ibu bapa dan penjaga serta para pelajar yang menyertai program berkenaan untuk memberikan kerjasama yang padu khususnya kepada para pegawai asrama yang akan menjaga mereka sepanjang program berkenaan.

Haji Mohd Sharifuddin ketika berucap pada majlis itu.
Haji Mohd Sharifuddin ketika berucap pada majlis itu.

Pihak kementerian, ulasnya, turut menyeru kepada para guru besar sekolah dan guru-guru dari sekolah asal para pelajar yang menyertai program itu untuk memberikan sokongan padu, komitmen dan bantuan kepada guru-guru di mana para pelajar program berkenaan akan ditempatkan di Sekolah Rendah Pusar Ulak.

Program Riayah Wa Mahabbah PSR mula dilaksanakan pada 2014 dan ia merupakan program anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perdana Menteri di mana pada 2016, program itu menunjukkan pencapaian yang baik apabila seorang pelajar dalam program berkenaan mencatatkan keputusan 5A dan beberapa orang lagi mencatatkan keputusan 4A.

Bagi 2017, sebanyak 24 buah sekolah iaitu 21 buah sekolah dari Daerah Brunei dan Muara dan tiga buah sekolah dari Daerah Belait telah menghadapkan permohonan pendaftaran bagi penyertaan para pelajar dalam program berkenaan.

Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para pegawai kanan, pegawai-pegawai asrama dan para pelajar yang terpilih untuk menyertai program 2017.
Haji Mohd Sharifuddin bergambar ramai bersama para pegawai kanan, pegawai-pegawai asrama dan para pelajar yang terpilih untuk menyertai program 2017.

Seramai 29 orang pelajar lelaki dan 18 orang pelajar perempuan telah terpilih untuk mengikuti program berkenaan di mana para pelajar akan ditempatkan di Asrama MDPMAMB dan bersekolah di Sekolah Rendah Pusar Ulak, Kluster 1.

Lima orang pegawai asrama telah diamanahkan untuk memantau, menjaga dan memelihara keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan para pelajar selama mereka berada di asrama bagi program berkenaan.

Semasa program itu, para pelajar dibekalkan dengan beberapa kemudahan seperti bilik tidur yang selesa, barang-barang asas serta juga diberikan kemudahan bas yang digunakan untuk ke sekolah dan balik kampung hujung minggu serta juga catuan makanan.

Pada masa yang sama penjadualan kegiatan para pelajar semasa berada di asrama juga telah disusun dengan rapi supaya program itu dapat berjalan dengan lancar. Selain daripada itu, antara kegiatan tambahan yang telah disusun bagi para pelajar program adalah juga termasuk mengikuti pembelajaran kelas malam, lawatan sambil belajar, kegiatan keagamaan, kegiatan kaunseling dan riadah.

ARTIKEL YANG SAMA