Usaha tangani limpahan signal

Usaha tangani limpahan signal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan operator-operator mudah alih tempatan iaitu DST dan Progresif Cellular Sdn Bhd, terus berusaha untuk menangani masalah limpahan signal mudah alih merentas sempadan (cross-border signal spillover) yang berlaku ke atas penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan sempadan negara.

Kejadian limpahan signal mudah alih merentas sempadan berlaku apabila penduduk di sesebuah negara dapat menerima signal cellular atau mudah alih daripada operator mudah alih luar negara atau sebaliknya di mana isu itu sering dihadapi oleh mereka yang tinggal di kawasan berhampiran sempadan.

Masalah itu bukannya unik bagi Negara Brunei Darussalam, jelas Penolong Ketua Eksekutif Kanan AITI, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, di mana disebabkan oleh kedudukan dekat Negara Brunei Darussalam dengan Malaysia serta keupayaan gelombang radio untuk dipancarkan bagi jarak yang jauh, usaha untuk menghentikan limpahan signal merupakan satu cabaran bagi pihak pengawal selia dan operator untuk menangani sepenuhnya.

Namun begitu, AITI mengongsikan usaha berterusan operator-operator tempatan dalam mengembangkan lagi liputan dan perkhidmatan mereka ke kawasan-kawasan pedalaman termasuk Lumapas, Batu Apoi, Selapon dan pos pemeriksaan Labu bagi memastikan para pelanggan atau penghuni tidak secara sengaja disambungkan (roaming) kepada rangkaian-rangkaian cellular atau mudah alih negara jiran, jelas Haji Hairul lagi pada sidang media mengenai masalah limpahan signal cellular yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Bangunan AITI, Anggerek Desa, hari ini.

Turut hadir dalam sesi sidang akhbar itu ialah Pengurus Kualiti Perkhidmatan dan Penguatkuasaan, AITI, Awangku Saiful Rosman bin Pengiran Roslee, Penolong Pengurus DST, Zulyada’in bin Haji Ibrahim dan Ketua Pasukan RF Optimization PCSB, Sai Fung Jack.

Haji Hairul (dua dari kiri), Awangku Saiful Rosman (dua dari kanan), Zulyada’in (satu dari kanan) dan Sai Fung Jack (satu dari kiri) semasa sidang media itu.
Haji Hairul (dua dari kiri), Awangku Saiful Rosman (dua dari kanan), Zulyada’in (satu dari kanan) dan Sai Fung Jack (satu dari kiri) semasa sidang media itu.

Haji Hairul menjelaskan lanjut bahawa sejak 2008, AITI bersama-sama pengawal selia Malaysia, MCMC, telah bekerjasama untuk mengurangkan limpahan signal merentas sempadan itu.

“Hasil dari itu, DiGi, Maxis, Celcom dan DST telah semua bersetuju untuk mengurangkan keluaran kuasa pada alat pemancar masing-masing di mana parameter bagi signal GSM harus berada pada kekuatan tidak melebihi -98dBm atau kira-kira dua bar bagi telefon bimbit standard pada jangka tiga kilometer di kawasan sempadan bersama.”

Beliau turut menyatakan bahawa para operator juga bersetuju untuk menambahkan satu lagi parameter bagi mengurangkan perkhidmatan liputan kepada minimumnya yang bererti jika para pengguna dapat melihat bahawa signal itu pada telefon mereka, tetapi mereka tidak dapat membuat panggilan.

Walaupun pada masa ini, perjanjian itu hanya meliputi signal GSM, ulas Haji Hairul lagi, tetapi kedua-dua pihak iaitu pihak pengawal selia dan para operator adalah peka bahawa rangkaian mudah alih 3G dan 4G terus berkembang dan usaha perlu dipertingkatkan bagi keperluan untuk menumpu semula ke atas parameter-parameter yang telah dipersetujui yang boleh diguna pakai bagi rangkaian-rangkaian kapasiti tinggi berkenaan.

Di samping itu, pelbagai penyelesaian juga sedang dalam perundingan termasuk mencondongkan antena dan mengurangkan kuasa keluaran. Operator-operator dari kedua buah negara juga telah bersetuju untuk menjalankan ujian pengukuran sekurang-kurangnya setahun sekali untuk memantau limpahan signal berkenaan dan untuk berkongsi maklumat dengan rakan-rakan mereka di negara jiran apabila kawasan-kawasan yang dikenal pasti menjadi satu kebimbangan.

Haji Hairul turut mengongsi bahawa pada awal Februari lalu, Negara Brunei Darussalam telah menjadi hos kepada Mesyuarat Hetnet and Spillage Coordination Sub-Working Group (HSC-SWG) ke-3 yang merangkumi pihak pengawal selia dan operator-operator mudah alih dari Brunei, Malaysia dan Singapura.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh ahli-ahli kumpulan kerja berkenaan, terdapat beberapa buah kawasan berhampiran dengan sempadan Brunei di mana signal GSM dari operator-operator Malaysia berada di atas kadar yang telah dipersetujui.

Perkara yang sama turut didapati bagi signal operator tempatan di mana ia juga berada pada kadar yang lebih dari dipersetujui di beberapa buah kawasan yang berhampiran dengan sempadan Malaysia.

Berhubungan dengan perkara itu, ia didedahkan bahawa para operator telah bersetuju untuk menyelaraskan dan menilai kawasan-kawasan berkenaan dengan lebih lanjut.

Haji Hairul berkata hasil dapatan itu menunjukkan bahawa isu limpahan signal sama menjejaskan kedua-dua buah negara dan oleh itu, cara yang terbaik untuk menanganinya ialah menerusi penyelarasan berterusan dan mengambil langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan pengguna mengenai isu-isu berkenaan.

Dalam hubungan itu, AITI ingin menasihati para pengguna khususnya yang tinggal berhampiran dengan kawasan sempadan untuk membuat pemilihan rangkaian mudah alih mereka secara manual bagi memilih operator tempatan supaya menggelakkan telefon bimbit mereka dari memilih rangkaian mudah alih luar negara secara automatik.

ARTIKEL YANG SAMA