Usaha tangani rasuah dipergiat

Usaha tangani rasuah dipergiat

Oleh Rafidah Jumat & Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Perdana Menteri, dalam menangani rasuah, telah menggubal Perintah Pencegahan Rasuah (Pindaan), 2015 yang berkuat kuasa pada 22 September 2015, dengan tujuan untuk meningkatkan integriti dan kejujuran dalam kalangan pegawai-pegawai awam.

Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penyogokan, pemerasan, pengaruh, penipuan dan penggelapan wang, termasuk dalam bentuk penyalahgunaan kuasa.

Bab 12A baru akan menjadikannya suatu kesalahan bagi pegawai awam menggunakan dana awam untuk tujuan peribadi, memberikan layanan keutamaan yang tidak wajar, menyalahgunakan maklumat yang diperoleh semasa menjalankan kewajipannya atau berkelakuan dengan cara yang akan menyebabkan kepentingan peribadinya bercanggahan dengan kewajipan awamnya.

Bab 12B pula memperkenalkan kesalahan salah laku dengan sengaja atau lalai melaksanakan kewajipan yang membawa kepada penyalahgunaan amanah awam terhadap pemegang jawatan.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Perbarisan lintas hormat semasa majlis berkenaan.
Perbarisan lintas hormat semasa majlis berkenaan.

Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh berkata kesalahan-kesalahan di bawah bab itu boleh dilakukan tanpa menerima suapan atau manfaat kewangan.

Menurut beliau, seorang pegawai awam boleh didapati bersalah atas kesalahan itu jika dia terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau budi-bicara, penyalahgunaan tugas rasmi atau kegagalan mengisytiharkan sebarang percanggahan kepentingan.

Yang Berhormat Datin menekankan perkara ini semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2016, yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, dalam menjalankan pembaharuan untuk mempelbagaikan ekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan jawatankuasa yang bertanggungjawab melaksanakan pembaharuan bagi menjadikan negara ini lebih menarik bagi pelabur-pelabur asing.

“Untuk mewujudkan keyakinan pelabur, kita bukan sahaja perlu mempunyai persekitaran politik dan ekonomi yang baik, malah penting untuk mempunyai infrastruktur undang-undang yang berkesan dan bebas untuk melindungi hak pelabur.

“Kita juga mesti mempunyai undang-undang yang memupuk persekitaran pro-perniagaan dan pro-pelabur, dan antaranya Perintah Ketidaksolvenan, 2016; draf Perintah Transaksi Bercagar, 2016; Aturan-aturan dari Aturan-aturan Mahkamah Besar (Pindaan), 2015; draf Perintah Keselamatan Kebakaran, 2015 dan draf Perintah Akta Lesen Perniagaan (Pindaan) 2015,” katanya.

Mengenai integriti, ujarnya, satu lagi pertimbangan penting yang mempengaruhi keputusan pelabur dalam memilih destinasi pelaburan adalah tahap rasuah di sesebuah negara.

Kajian telah menunjukkan rasuah mempunyai kesan negatif kepada tahap pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada pertumbuhan PKS. Banyak kajian juga menunjukkan bahawa negara-negara dengan tahap rendah rasuah menarik lebih FDI per kapita.

Yang Berhormat Datin dalam ucapannya turut memuji pelbagai usaha yang dibuat oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan agensi-agensi lain dalam memerangi penggubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan jenayah kewangan yang semakin bertambah. Menurut beliau, pihaknya juga telah membantu kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dalam rundingan panjang bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTP) yang dibuat pada 5 Oktober 2015, terutamanya dalam memastikan perjanjian itu mengikut kehendak pihaknya dan tidak bercanggah dengan dasar negara, kedaulatan dan perlembagaan Brunei.

Yang Berhormat Datin yang turut mengalu-alukan penubuhan mahkamah komersial, telah berkongsi tiga ciri penting komposisi Mahkamah Komersial iaitu pandangan antarabangsa, kemahiran dan pengetahuan komersil dan simpati timbang tara.

Dengan aliran perdagangan dan pelaburan merentas sempadan di Asia, TPP dan lain, diharap akan dapat mempergiatkan semula perdagangan dan pelaburan, tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA