Usaha tarik minat belia sertai pengakap Belait

Usaha tarik minat belia sertai pengakap Belait

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 5 Mei – Dalam usaha menarik minat belia dan beliawanis untuk menyertai Persatuan Pengakap Daerah Belait, jawatankuasa persatuan tersebut akan mengadakan usul perbincangan dengan pihak-pihak sekolah di daerah ini dalam masa terdekat bagi cadangan mengaktifkan semula penglibatan dalam persatuan pengakap bagi pelajar-pelajar dalam jadual kokurikulum mereka.

Setiausaha Persatuan Pengakap Daerah Belait, Awang Jerry bin Junaidi semasa ditemui Media Permata berkata keramaian ahli pengakap menurun daripada 300 kepada 200 orang dalam beberapa tahun ini, disebabkan kurangnya galakan dan penglibatan pelajar-pelajar di dalam aktiviti-aktiviti pengakap di sekolah masing-masing.

“Selain penglibatan belia-belia dari kampung dan mukim, dalam masa ini cuma ada lima buah sekolah di seluruh Daerah Belait yang mempunyai ahli-ahli pengakap iaitu dari Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Lumut, Sekolah Menengah Chung Ching, Seria, Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga, PGGMB Belait dan Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut sahaja yang aktif,” ujarnya.

Justeru itu, Awang Jerry berkata, inisiatif perbincangan akan diadakan dengan Jabatan Kokurikulum Cawangan Daerah Belait di bawah Kementerian Pendidikan dan para pengetua serta guru besar sekolah-sekolah di daerah ini bagi menerangkan bagaimana kerjasama dua hala boleh diadakan dalam memperkenalkan semula dan juga dalam masa yang sama menanam minat terhadap aktiviti pengakap dalam kalangan pelajar-pelajar itu nanti.

Awang Jerry (tengah) bersama ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait semasa acara sambutan Hari Keluarga Kebangsaan di Kelab Rekreasi Liang, Lumut di Daerah Belait, baru-baru ini.
Awang Jerry (tengah) bersama ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait semasa acara sambutan Hari Keluarga Kebangsaan di Kelab Rekreasi Liang, Lumut di Daerah Belait, baru-baru ini.

“Jika tiada halangan pada bulan Mac tahun hadapan, Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah kepada Acara Memperingati 100 Tahun Pengakap Kanak-Kanak Sedunia.

“Selepas keputusan perjumpaan dengan jabatan kokurikulum bersama pengetua dan guru besar sekolah ini nanti, Insya Allah, Persatuan Pengakap Daerah Belait akan mengadakan jerayawara di Daerah Belait dalam masa terdekat ini dan seterusnya meraikan 75 Tahun Jubli Intan Persatuan Pengakap Daerah Belait, di mana kami akan menjemput kesemua pengetua-pengetua dan guru-guru besar serta pelajar-pelajar di sekolah-sekolah di Daerah Belait ini,” Awang Jerry menjelaskan.

Penyertaan persatuan tersebut dalam acara Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan di Kelab Rekreasi Liang Lumut, baru-baru ini, telah banyak membantu menarik minat penyertaan dari belia dan beliawanis di Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA