Usaha tingkat hasil pertanian

Usaha tingkat hasil pertanian

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Seorang anak muda tempatan berharap peluang untuk menyertai Seminar Kualiti dan Keselamatan Produk Pertanian bagi Negara Membangun yang akan berlangsung di Nanjing, Republik Rakyat China pada 11 hingga 31 Mei 2016 nanti akan dapat memudahkan lagi usaha beliau memulakan perniagaan dalam bidang pertanian pada masa depan.

Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Manan, 27, dan seorang lagi calon, Haji Zupri bin Haji Khamis menerima tawaran untuk mengikuti kursus tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan China atas sokongan Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB), yang melalui hubungan baik dengan pejabat Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam, telah berjaya menghantar lima orang bakal usahawan tempatan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh kerajaan China.

Ketika ditemui hari ini, Awang Abdul Hafiz berkata, seminar selama 20 hari anjuran Universiti Pertanian Nanjing itu akan memberikan beliau pengetahuan mengenai teknologi pertanian yang dijalankan di China, kualiti produk pertanian dan benih yang digunakan, cara memproses dan menyimpan serta memastikan keselamatan produk dan kaedah terbaik pengurusan produk dan ladang pertanian.

Katanya, peluang itu diperolehnya apabila beliau dilawati oleh sekretariat PPPMB yang mempelawanya untuk mengikuti seminar itu.

Beliau yang juga pemegang ijazah dalam bidang sejarah dan sains sosial dari Universiti Brunei Darussalam, tetapi masih belum mendapat sebarang pekerjaan, telah menerima peluang ini dengan hati terbuka untuk mencuba sesuatu yang baru.

Awang Abdul Hafiz semasa menceritakan peluang beliau untuk mengikuti seminar pertanian di China.
Awang Abdul Hafiz semasa menceritakan peluang beliau untuk mengikuti seminar pertanian di China.

Menurut Awang Abdul Hafiz lagi, tawaran daripada kerajaan China itu diterimanya ekoran hubungan baik yang terjalin antara pejabat Kedutaan China di Negara Brunei Darussalam dengan PPPMB.

“Kedutaan China memberi peluang kepada PPPMB untuk menghantar ahli persatuan muda ke China sejak tahun lalu yang mana kini telah menghantar lima orang untuk mengikut Seminar Mengenai Dewan Perniagaan dan Industri bagi Negara Membangun ke China dan saya bersama Haji Zupri adalah calon Negara Brunei Darussalam yang keenam dan ketujuh bagi program ini,” katanya.

Ditanya mengapa bidang pertanian menarik minatnya, beliau menjelaskan, minatnya dalam bidang pertanian mula timbul apabila memikirkan negara ini masih belum mempunyai industri pertanian yang diusahakan mengikut teknologi moden dan negara ini masih lagi mengimport sejumlah besar produk pertanian dari luar negara.

“Dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada ahli PPPMB yang sudah memulakan perusahaan perladangan, saya yakin perusahaan itu nanti akan dapat membantu meningkatkan lagi hasil produk pertanian dalam negara,” ujarnya.

Setelah kembali daripada mengikuti seminar itu, beliau bersama ahli-ahli PPPMB yang lain berhasrat untuk menerokai peluang-peluang dalam bidang pertanian yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA