Usaha tingkatkan ekonomi kampung

Usaha tingkatkan ekonomi kampung

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Dalam usaha meningkatkan ekonomi mukim-mukim di daerah ini, satu sesi dialog bersama ketua-ketua Kampung Berakas dan ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati telah diadakan di Stadium Restoran, di sini, hari ini.

Sesi dialog itu turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Husain yang juga Penghulu Mukim Berakas ‘A’.

Yang Berhormat Haji A. Ahmad semasa ditemui pada sesi dialog tersebut menjelaskan, dialog ini antara lain bertujuan untuk sama-sama berbincang beberapa isu termasuk cara untuk meningkatkan ekonomi kampung-kampung di Mukim Berakas.

Sesi dialog yang julung kali diadakan ini merupakan langkah awal bagi mengadakan perbincangan dengan pengerusi dan penolong Mukim Berakas ‘A’ dan ketua kampung serta ahli MPK Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.

Yang Berhormat Haji A. Ahmad bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung di Mukim Berakas dan ahli MPK.
Yang Berhormat Haji A. Ahmad bergambar ramai bersama ketua-ketua kampung di Mukim Berakas dan ahli MPK.

Di samping itu, jelas Yang Berhormat Haji A. Ahmad, mereka juga bercadang membuat persiapan awal untuk aktiviti pada tahun 2017.

Dengan adanya dialog ini, Yang Berhormat berharap sokongan penduduk kampung dalam Mukim Berakas ‘A’ yang diketuai oleh ketua kampung masing-masing dapat sama-sama berusaha memajukan kampung mereka.

Yang Berhormat Haji A. Ahmad berkata, “Dialog seumpama ini juga diharap akan mencapai hasrat yang diharapkan dan akan menjadi ikutan di mukim-mukim yang lain”.

ARTIKEL YANG SAMA