Usaha tingkatkan perdagangan dan industri antara fokus utama anggota AIPA

Usaha tingkatkan perdagangan dan industri antara fokus utama anggota AIPA

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan industri antara negara-negara anggota ASEAN menjadi antara fokus utama dalam mesyuarat Jawatankuasa berkaitan Ekonomi yang diadakan sempena Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata langkah tersebut penting untuk memastikan jaringan kerjasama yang lebih erat bagi membangunkan lagi ekonomi serantau.

“Saya mengharapkan kita dapat mengukuhkan lagi jaringan antara negara dan intra negara supaya mereka dapat memainkan peranan masing-masing dalam menghormati jaringan tersebut.

“Ini memastikan perdagangan antara negara-negara anggota ASEAN dapat terus diperkukuhkan,” katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Ahmad yang juga Anggota Parlimen Jasin, Melaka berkata mesyuarat itu turut membincangkan draf tiga resolusi untuk dibentangkan pada sesi kedua pleno Jumaat ini.

Katanya tiga resolusi itu ialah Meningkatkan Kerjasama Antara Rantau dan Integrasi Intra Serantau dalam Perdagangan dan Industri, Merapatkan Jurang Pembangunan Antara Negara Anggota ASEAN dan Menggalakkan Peranan Parlimen dalam Meningkatkan Pelaksanaan Komitmen Komuniti Ekonomi ASEAN Selepas 2015.

“Ketiga-tiga belum draf akhir lagi…delegasi masih ada masa untuk membuat pembetulan. Kami perlu selesaikan draf itu malam ini, kemudian pada Jumaat kami akan membentangkannya,” katanya.

Mesyuarat itu berlangsung sempena Perhimpunan Agung kali ke-36 AIPA yang bermula Isnin lepas hingga Sabtu ini.

Seramai 32 delegasi dari sembilan buah negara menghadiri mesyuarat tersebut. Singapura tidak menghantar wakil ke mesyuarat kali ini berikutan republik itu sedang mengadakan pilihan raya. – Bernama