Usaha wujudkan belia cemerlang

Usaha wujudkan belia cemerlang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Dasar Belia Negara (DBN) 2002 Negara Brunei Darussalam merupakan rancangan sebagai asas membuat keputusan oleh pihak-pihak yang berkepentingan terhadap belia dan merupakan perencanaan panjang untuk mewujudkan Belia Brunei Cemerlang.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan perkara berkenaan ketika berucap pada Persidangan Menteri-menteri Belia dan Sukan Islam ke-3 yang berlangsung di Istanbul, Turki pada 6 dan 7 Oktober lalu.

Yang Berhormat Pehin kemudian menambah bahawa enam bidang keberhasilan utama DBN adalah Pendidikan dan Pembangunan Diri, Pekerjaan dan Latihan Belia, Kepimpinan, Daya Usaha, Persefahaman Antarabangsa serta Perkhidmatan kepada Orang Lain dan Negara mustahak diisi dengan projek dan program yang berimpak tinggi serta tepat pada waktunya oleh semua institusi belia di dalam dan luar kerajaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini, persidangan yang membawa tema ‘Memperkasa Belia untuk Keamanan, Perpaduan dan Pembangunan’ itu mempertemukan menteri-menteri Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang bertanggungjawab kepada belia dan sukan untuk mencari jalan keluar terutamanya terhadap isu-isu belia sejagat.

Menurut kenyataan itu lagi, Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, KKBS melihat keperluan bagi mewujudkan DBN yang lebih holistik dan bersepadu bagi menangani isu-isu belia yang amat mencabar pada satu masa yang bersesuaian.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapan di sesi mesyuarat tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapan di sesi mesyuarat tersebut.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama ahli rombongan Negara Brunei Darussalam ke Persidangan Menteri-menteri Belia dan Sukan Islam ke-3.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama ahli rombongan Negara Brunei Darussalam ke Persidangan Menteri-menteri Belia dan Sukan Islam ke-3.

Strategi ke arah itu adalah memperbaiki mekanisme pelaksanaan yang pelbagai peringkat (multilevel) bagi konsultasi, penyelarasan, pemantauan dan penilaian program yang lebih berkesan, inklusif dan melibatkan seluruh pihak yang mengurus dan membangun belia.

Mengulas mengenai OIC Youth Strategy and Youth Joint Policy Initiatives dan OIC Sport Strategy, Yang Berhormat Pehin berkata, ia sudah tentu menjadi panduan supaya program pembangunan belia dan sukan berada di landasan yang betul.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, di Negara Brunei Darussalam, latihan kemahiran belia bagi mendapatkan mata pencarian, menanamkan rasa kepunyaan (sense of belonging), membina keluarga yang kukuh sebagai unit asas masyarakat, perubahan minda serta membina budaya berdikari dalam kalangan belia adalah projek dan program berterusan bagi kemanfaatan belia.

Sementara itu, penyusunan aktiviti dalam bidang sukan dan riadah melalui penyediaan kemudahan sukan dan program riadah yang baharu adalah semata-mata supaya belia tidak kebosanan yang boleh membawa belia ke arah aktiviti yang tidak sihat.

Inisiatif mengadakan aktiviti selepas sekolah dan kerja di pusat-pusat belia supaya belia melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kegemaran mereka adalah mengambil kira productive leisure yang sangat penting bagi perkembangan peribadi dan sosial para belia.

Di rantau ini, Negara Brunei Darussalam telah memahat nama sebagai penganjur acara-acara berprestij bagi belia, seperti Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara dan Kejohanan Bolasepak Piala Hassanal Bolkiah bagi Belia Asia Tenggara. Peluasan penganjuran aktiviti seumpama ini tidak syak lagi akan merintis jalan kepada negara menjadi hab kecemerlangan belia.

“Belia dan beliawanis negara adalah versatil. Keterlibatan dan kejayaan mereka dalam program-program pertukaran antarabangsa amat memberangsangkan selaras bidalan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.”

Dalam menutup ucapannya, Yang Berhormat Pehin menyedari peranan sebagai ejen perubahan, beliau mengajak semua pihak mendampingi belia. Tahap belia adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan (developmental task).

“Tugas perkembangan termasuk mengasah keterampilan atau kebolehan, menimba pengetahuan, menjalankan fungsi dan peranan serta mendidik sikap baik yang belia perlu ada pada sesetengah tahap hidup mereka. Melibatkan belia akan mendorong belia untuk melalui kematangan fizikal dan menggalas harapan sosial dalam usia mereka yang matang.”

Menurut kenyataan itu lagi, di luar sesi mesyuarat di ruang khas Hotel Conrad, di mana mesyuarat diadakan, Yang Berhormat Pehin juga telah berkesempatan untuk membuat kunjungan muhibah kepada Menteri Belia dan Sukan, Republik Turki, Akif Cagatay Kilic.

Kunjungan itu telah dapat mengukuhkan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Turki khususnya dalam bidang pembangunan kebeliaan dan kesukanan di samping bertukar pendapat mengenai isu-isu sukan dan belia sejagat.

Mengiringi Yang Berhormat Pehin ke mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Kedua di Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Turki, Dayang Osfinita binti Tahir, dan pegawai kanan dari KKBS.