Usahakan diplomasi pencegahan

Usahakan diplomasi pencegahan

NEW YORK, 1 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah diplomasi pencegahan adalah satu kaedah yang kos efektif untuk menangani konflik dan sebahagian daripada usaha-usaha pencegahan konflik.

Dalam titah sidang Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-70 di Dewan Perhimpunan Agung, Ibu Pejabat PBB di New York, Baginda menekankan usaha itu bagaimanapun adalah satu proses jangka panjang namun pelaburan yang berbaloi di mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mencapai beberapa kemajuan.

Baginda Sultan turut berkenan memetik maklumat dari Bank Dunia mengenai kos purata bagi perang saudara yang menurut Baginda menyamai lebih 30 tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sebuah negara sederhana yang membangun.

Manakala dalam kos pengamanan semasa dan selepas perang juga adalah tinggi dan amatlah sukar untuk menilai kehilangan nyawa.

Baginda menambah negara-negara ahli PBB amat menghargai usaha-usaha Pejabat Setiausaha Agung, Perwakilan Khas dan Misi Politik Tetap PBB sebagai sebahagian dari alat utama diplomasi pencegahan. Walau bagaimanapun, banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan usaha-usaha pencegahan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah dalam sidang Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-70 di Dewan Perhimpunan Agung, Ibu Pejabat PBB di New York, kelmarin. - Gambar Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah dalam sidang Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-70 di Dewan Perhimpunan Agung, Ibu Pejabat PBB di New York, kelmarin. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan menyampaikan titah pada Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesi ke-70 di Dewan Perhimpunan Agung PBB, kelmarin. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan menyampaikan titah pada Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesi ke-70 di Dewan Perhimpunan Agung PBB, kelmarin. – Gambar Infofoto

pg03_151002_a

Baginda Sultan berkenan menghadiri Perdebatan Umum PBB. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan menghadiri Perdebatan Umum PBB. – Gambar Infofoto

Sementara itu, Baginda turut memuji kewujudan PBB selama 70 tahun yang telah membuktikan kepentingan kewujudannya yang mana ia telah menjadi pertubuhan dunia bagi ahli-ahli negaranya bergantung dalam segala aspek kemanusiaan, dan tidak ada organisasi yang menyamainya.

Titah Baginda lagi, PBB yang ditubuhkan dalam 1945 berikutan kemusnahan besar akibat Perang Dunia ke-2 yang menjadikan fokus utamanya untuk mengembalikan keamanan dan keselamatan.

Baginda menambah bahawa pada masa ini mandat PBB sudah jauh berkembang meliputi cabaran-cabaran yang baru muncul dan ancaman-ancaman yang sentiasa berubah, seperti penggunaan berleluasa senjata-senjata pemusnah skala besar; perubahan iklim; wabak penyakit; dan keganasan. Sebagai sebahagian daripada mandat global yang lengkap, PBB juga berperanan menangani perkara-perkara sosioekonomi yang pelbagai dimensi.

Baginda seterusnya menyatakan walaupun PBB bukan penyelesai segala masalah dunia, namun ianya tidak mengurangi kejayaan pertubuhan secara keseluruhannya.

Baginda memuji peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi PBB dalam usaha-usaha mereka meningkatkan tahap dan mutu kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Baginda Sultan juga memuji kejayaan pengawalan wabak penyakit yang merupakan satu ancaman yang serius kepada penduduk dunia.

Pada tahun 1980, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (W.H.O.) telah berjaya membasmi penyakit cacar, dan baru-baru ini PBB juga gigih bekerjasama dengan negara-negara yang terlibat dalam mencegah penyakit MERS dan Ebola daripada terus merebak.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menyatakan semenjak beberapa tahun ini, PBB telah menyaksikan bagaimana petugas-petugas kemanusiaan dan pasukan-pasukan pengaman PBB mempertaruhkan nyawa mereka semasa menjalankan tugas.

Baginda menambah bahawa individu-individu yang berani tersebut layak diberikan penghormatan tertinggi atas komitmen dan pengorbanan mereka untuk menjadikan dunia ini lebih selamat.

Menurut Baginda lagi, dengan keramaian 193 ahli, jangkaan ke atas keberkesanan PBB dalam menangani isu-isu yang melibatkan kehidupan masyarakatnya adalah tinggi. Baginda dengan itu amat berpuas hati terhadap agenda pembangunan baru PBB (UN’s new development agenda) yang menyenaraikan keseluruhan ataupun hampir keseluruhan isu-isu kebimbangan tersebut.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyatakan Agenda Pembangunan Pasca-2015 (Post-2015 Development Agenda) yang inklusif melambangkan kepercayaan dan keyakinan negara-negara ahli terhadap PBB, menambah, bahawa adalah penting bagi negara-negara ahli menunaikan tanggungjawab nasional dan kolektif mereka demi melaksanakan agenda kemajuan tersebut dan untuk merealisasikan harapan dan impian rakyat bagi kehidupan yang lebih baik.

Menurut Baginda lagi, kemasukan Negara Brunei Darussalam sebagai negara ahli PBB pada tahun 1984 melambangkan sokongan global ke atas kedaulatan dan keutuhan wilayahnya sebagai sebuah negara yang penuh merdeka.

Negara Brunei Darussalam telah menerima banyak manfaat dari pada keahlian tersebut.

PBB telah memberikan landasan bagi Negara Brunei Darussalam meningkatkan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara sahabat dan rakan kongsi. Melalui PBB, Negara Brunei Darussalam dapat menunjukkan komitmen yang jitu kearah keamanan, kestabilan dan kemajuan.

Baginda menekankan lagi, Negara Brunei Darussalam amat yakin bahawa toleransi, belas-kasihan dan keharmonian sosial adalah penting bagi keamanan dan keselamatan yang berkekalan. Ini telah menjadikan ianya mempunyai sebuah masyarakat yang erat yang dinikmatinya sehingga hari ini. Nilai-nilai tersebut adalah asas kestabilan dan kemakmuran negara serta telah memberikan persekitaran yang sihat untuk pembangunan.

Menyentuh mengenai rantau Asia Tenggara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyatakan bahawa prinsip-prinsip yang dikongsi sama oleh negara-negara ahli ASEAN, iaitu kedaulatan wilayah, tidak campur tangan, konsensus, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik telah membimbing usaha-usaha ke arah kerjasama erat bagi mencapai keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Baginda menambah bahawa pengalaman-pengalaman nasional dan serantau tersebut merupakan dasar sumbangan Negara Brunei Darussalam kepada PBB sebagai sebahagian daripada proses perhubungan pelbagai hala.

Melalui PBB, Baginda membayangkan pembentukan masyarakat global penyayang yang tersemat dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang sama, yang boleh menyerlahkan potensi negara-negara ahli untuk bekerja dan mencapai kejayaan bersama.

Untuk mengeratkan hubungan di antara negara-negara, Baginda menyeru negara-negara ahli untuk mengamalkan pertukaran-pertukaran budaya bagi memberikan kefahaman dan timbang rasa di antara sesama negara bagi membolehkan negara-negara ahli hidup sebagai satu keluarga. Dengan cara ini, negara-negara mampu mengelakkan tercetusnya konflik baru dan menggunakan dengan lebih baik lagi sumber-sumber bagi kemajuan sosio-ekonomi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mantan Speaker Parlimen Denmark Tuan Yang Terutama Mogens Lykketoft, atas pelantikan beliau sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesi ke-70. Baginda juga merakamkan penghargaan kepada bekas Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sesi ke-69, Tuan Yang Terutama Sam Kutesa, Menteri Bagi Hal Ehwal Luar Negeri Uganda atas sumbangan Tuan Yang Terutama terhadap usaha-usaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga melahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon, atas kepimpinan berwibawa Tuan Yang Terutama, dan juga kepada agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atas penglibatan aktif dengan negara-negara ahli PBB.

ARTIKEL YANG SAMA