Usahakan warung di tempat sendiri

Usahakan warung di tempat sendiri

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 April – Warung Taman Raudhah yang terkenal dengan makanan Kuey Tiaw Goreng dan Set Ambuyat yang dimiliki oleh Pengiran Muhd Abdul Qayyum bin Pengiran Haji Zainal kini membuka perniagaannya di halaman rumah sendiri di Kampung Pandan.

“Oleh kerana kontrak kami dengan pemilik pondok di Tamu Tudung Saji sudah berakhir dan tidak perlu lagi untuk membayar sewa, maka kami mengambil peluang ini mencari tempat lain untuk membuka cawangan yang baru lagi nanti, Insha Allah,” jelasnya kepada Media Permata.

Warung Taman Raudah yang dirasmikan semalam memperkenalkan beberapa makanan baru dalam menu seperti Ayam Percik Bakar, Kelapa Ice Cream dan lain-lain lagi yang telah mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.

“Memang hajat kami dari dulu lagi untuk membuka warung di rumah kediaman sendiri dengan bertemakan ‘santai’ dan pemandangan yang berkonsepkan ‘klasik’ bagi menarik perhatian orang ramai agar mereka berasa selesa apabila mengunjungi tempat ini untuk makan dan minum,” tambah Pengiran Muhd Abdul Qayyum lagi.

Gambar ramai pengusaha warung tersebut bersama keluarga.
Gambar ramai pengusaha warung tersebut bersama keluarga.
Set hidangan Ambuyat antara menu makanan yang terkenal di Warung Taman Raudhah.
Set hidangan Ambuyat antara menu makanan yang terkenal di Warung Taman Raudhah.

Menurutnya lagi, beliau bersama keluarga, para pekerja dan kawan-kawan rapat telah berusaha untuk membangunkan pondok tersebut dalam masa dua minggu.

Antara barangan terpakai yang digunakan adalah seperti kayu pelet dan bahan buangan yang dijumpai di tepi pantai dan diperbaiki untuk dijadikan sebagai kerusi dan meja.

Apabila ditanya mengenai perancangannya pada bulan Ramadan nanti, beliau menjelaskan persiapan sedang dibuat bagi menampung permintaan yang banyak daripada orang ramai.

Tahun lepas, secara purata seramai 200 orang dalam sehari mengunjungi pondok beliau pada bulan puasa untuk membeli Kuey Tiaw Goreng ala Cina mereka yang terkenal di Belait.

“Tahun ini pula, kemungkinan kami akan menambah menu bagi memperkenalkan makanan set kami yang lain,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA