Usahawan dalam talian perlu ikuti trend terkini

Usahawan dalam talian perlu ikuti trend terkini

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Usahawan yang menceburi perniagaan dalam talian perlu sentiasa mengikuti trend terkini untuk terus kekal berdaya saing kata Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) Mohd Azrul Mohd Nor.

Katanya mereka juga perlu memperkemaskan pangkalan data pelanggan dan sentiasa seiring dengan perubahan teknologi maklumat semasa.

“Selain itu, para usahawan Internet perlulah mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi melindungi perniagaan selain memberi keyakinan kepada pengguna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata usahawan juga perlu kreatif dalam memasarkan produk seperti mengadakan perkhidmatan selepas jualan serta membina hubungan baik dengan usahawan lain agar dapat bekerjasama dan saling bertukar pendapat.

Sementara itu, perunding motivasi yang juga pengasas produk kecantikan Aura Seri, Datin Ira Ghani berkata pelanggan kini semakin bijak menilai kualiti produk atau perkhidmatan.

Biskut yang dihasilkan oleh usahawan dalam talian Hani Cookies dari Johor Baharu. – Bernama
Biskut yang dihasilkan oleh usahawan dalam talian Hani Cookies dari Johor Baharu. – Bernama

Hos program bual bicara Feminin yang disiarkan oleh RTM itu juga berkata para usahawan perlu memperdalam ilmu perniagaan mereka selain mengikuti kursus atau program yang dapat menambah kemahiran untuk terus berdaya saing.

Pengusaha Hani Cookies, Syarifah Faizahani Syed Abdullah, 39, dari Johor Baharu berkata usahawan perniagaan dalam talian perlu sentiasa mencari idea baharu untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

“Idea baharu itu termasuklah pembungkusan yang menarik dan strategi promosi yang lebih berkesan menerusi dalam talian,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA