Usahawan digesa ceburi bidang penghasilan madu lebah

Usahawan digesa ceburi bidang penghasilan madu lebah

ALOR GAJAH, 6 April – Lebih ramai pihak terutama usahawan tempatan digesa menyertai bidang penghasilan madu bagi menampung permintaan tinggi dari dalam serta luar negara.

Penasihat Eksekutif Flora Bee Hive Enterprise Sdn Bhd, Yan Hashim, berkata syarikat itu yang juga antara pengeluar madu lebah terbesar negara, memerlukan bekalan lebih besar bagi menampung permintaan tempatan.

Antara sektor yang memerlukan madu adalah makanan, kesihatan dan kecantikan selain tindakan orang ramai menjadikan madu yang tiada had jangka hayatnya sebagai pengganti gula.

Menurut Yan, pihaknya turut melakukan pelbagai usaha termasuk bekerjasama dengan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) bagi menarik masyarakat menceburi bidang penternakan lebah secara komersial.

Bantuan disalurkannya adalah dari segi kepakaran dan latihan kepada peserta terbabit.

Syarikat itu turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menceburi industri penternakan komersial dengan menyediakan tanah seluas sekurang-kurangnya 0.4 hektar (1 ekar) dan mempunyai pokok akasia dan gelam sebagai sumber makanan lebah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA