Usahawan diseru lebih pintar

Usahawan diseru lebih pintar

LABUAN, 25 April – Usahawan perlu menjadi lebih berdaya tahan dan pintar dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML) Datuk Yussof Mohammad.

Katanya, bagi perniagaan yang terjejas teruk akibat ekonomi yang lembap khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G), mereka perlu mempelbagaikan perniagaan mereka ke dalam ekonomi yang digerakkan oleh pengguna.

Bercakap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan DPMML ke-19 di sini pada malam Sabtu lepas, beliau memberitahu keadaan ekonomi negara akan terus menjadi isu yang paling kritikal yang dihadapi oleh usahawan.

“Walaupun dewan bimbang dengan beberapa bidang ekonomi, kami bagaimanapun yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan keupayaan beliau untuk menyampaikan pembaharuan serta meletakkan ekonomi kembali ke landasan asas,” katanya.

Yussof yang juga merupakan Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filiphina (BIMP-EAGA), dewan itu menjangkakan pemulihan ekonomi yang pantas bagi memacu perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Yussof berkata projek perumahan yang dibuat secara usaha sama antara dewan itu dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan dibina di Sungai Lada dan Manikar. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA