Usahawan IKS digesa lakukan transformasi terhadap perniagaan, produk

Usahawan IKS digesa lakukan transformasi terhadap perniagaan, produk

JOHOR BAHARU, 24 Julai – Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini digesa melakukan transformasi terhadap perniagaan dan produk mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, usahawan IKS perlu melakukan inovasi terhadap produk selain mendalami ilmu perniagaan berasaskan talian supaya dapat terus bersaing.

“Usahawan IKS tidak boleh sentiasa selesa. Mereka perlu mempersiapkan diri dalam me-nempuhi era globalisasi.

“Contohnya dalam perkhidmatan teksi, kita tidak boleh salahkan mana-mana pihak apabila adanya perkhidmatan berasaskan talian seperti Uber dan GrabCar berbanding konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Kebangsaan anjuran Kumpulan Great Vision yang disertai lebih 300 usahawan IKS negeri ini, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Great Vision, James Tan Boon Pock.

Sementara itu, Tan berkata, kebanyakan usahawan IKS tempatan masih mempunyai sikap tidak endah terhadap kesan globalisasi, berada dalam zon selesa dan kurang didedahkan ilmu pengetahuan berkaitan perniagaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA