Usahawan muda diberi pendedahan intensif

Usahawan muda diberi pendedahan intensif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Usahawan-usahawan muda tempatan telah diberi pendedahan kepada program pembangunan dan perancangan perusahaan yang intensif semasa Bengkel Menjadi Pengurus dan Pemilik Perusahaan Berjaya (BSOM) LiveWIRE Brunei yang diadakan di LiveWIRE Brunei, Berakas, baru-baru ini.

Bengkel empat hari itu turut memberi panduan mengenai kaedah dan pendekatan yang terbaik untuk melaksanakan kajian serta membangunkan perusahaan mereka dan menubuhkan rangkaian keusahawanan.

Menurut Kaunselor Perusahaan LiveWIRE, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan, para peserta juga didedahkan tentang cabaran dan isu-isu yang mungkin dihadapi oleh para usahawan baru dan muda serta untuk mengelak daripada melakukan kesilapan besar yang mungkin boleh menjejas kejayaan perusahaan mereka. Bengkel membabitkan sesi perkongsian dan ceramah daripada usahawan-usahawan muda yang berjaya dan terkenal serta penasihat perniagaan yang pakar dalam bidang perusahaan termasuk dari UNISSA, KPMG, BIBD, AIA Insurance, WMK Resource Management Services dan BruIPO.

Pelbagai aspek telah disentuh termasuk, penyelidikan pasaran dan perancangan perniagaan, pengurusan sumber manusia dan sumber kewangan yang efektif serta merancang hala tuju perniagaan di masa akan datang bagi menjalan sebuah pelan perniagaan yang berkesan.

Usahawan-usahawan muda yang mengikuti bengkel itu.
Usahawan-usahawan muda yang mengikuti bengkel itu.

Penceramah undangan dan rakan kongsi KPMG, Haji Shazali bin Dato Haji Sulaiman dalam ceramah mengenai melakukan perniagaan di Brunei, menyentuh mengenai kadar pengangguran di Brunei dan bagaimana inisiatif bengkel BSOM dapat membantu para usahawan yang berminat mengenai cabaran dan faedah menjalankan perniagaan mereka sendiri.

Salah seorang peserta bengkel, Awang Khairul Adli mengongsi bahawa bengkel itu merupakan sumber maklumat yang berguna untuk menambah kemahiran untuk membangunkan dirinya menjadi seorang usahawan yang baru.

LiveWIRE Brunei merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di lebih 23 buah negara di seluruh dunia. Ia juga merupakan program pembangunan kemasyarakatan yang ditaja sepenuhnya oleh Syarikat Minyak Brunei Shell.

Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus-kursus dan kegiatan yang ditawarkan oleh LiveWIRE Brunei, boleh menghubungi pejabat LiveWIRE di talian, 2220964.

ARTIKEL YANG SAMA