Usahawan Sarawak digesa guna teknologi SIRIM

Usahawan Sarawak digesa guna teknologi SIRIM

KUCHING, 6 Okt – Usahawan di Sarawak digesa agar menggunakan input teknologi SIRIM dalam usaha mempertingkatkan kualiti, jumlah dan kepelbagaian produk mereka.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi berkata ini akan membolehkan mereka memasuki pasaran eksport dengan jayanya.

Beliau berkata terdapat peluang yang sangat besar dalam Komuniti Ekonomi Asia dengan keseluruhan penduduk berjumlah 620 juta dari 10 negara, selain China dan India.

“Usahawan perlu menyedari tentang kepentingan teknologi untuk berinovasi dan menambah nilai kepada produk mereka,” katanya ketika merasmikan Program Keterlibatan SIRIM-Industri yang disertai kira-kira 150 peserta dari seluruh negeri di sini hari ini.

Julaihi mencadangkan supaya perusahaan bersaiz kecil dan sederhana menjalin usaha sama dengan pelabur dari luar negara.

Beliau berkata mereka juga boleh menyertai industri hiliran dan industri sokongan seperti sektor pembalakan, minyak dan gas, minyak sawit, segmen halal, pelancongan dan perkhidmatan.

Katanya kerajaan menyediakan insentif dan bantuan yang perlu kepada mereka. Sementara itu, beliau turut menggesa SIRIM supaya menambah peruntukannya kepada Sarawak untuk membolehkan negeri ini meneroka peluang aktiviti ekonomi baharu dengan hasrat untuk membangun serta mempromosi aktiviti yang berkaitan.

Sarawak, katanya, mempunyai kelebihan dari segi sumber, tanah dan sumber tenaga murah serta boleh diperbaharui.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Julaihi berkata menjadi hasrat kerajaan negeri agar lebih banyak usahawan memasuki pasaran eksport untuk menyokong proses industrialisasi negeri ini.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak untuk melaksanakan program agresif bagi mengoptimumkan pembangunan produk bernilai tinggi berasaskan sumber tempatan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA