Usain Bolt akan bersaing di Jamaica

Usain Bolt akan bersaing di Jamaica

KINGSTON, Jamaica, 21 Jun (AFP) – Usain Bolt yang bermula dengan aksi kurang memberangsangkan musim ini, akan berentap di Jamaica minggu depan walaupun tempat pada Kejohanan Dunia itu sudah terjamin sebagai juara 100m dan 200m.

Pemegang rekod dunia acara 100 meter (9.58saat) dan 200m (19.19saat) cuba untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya selepas musim 2014 di mana beliau terjejas akibat kecederaan kaki dan hamstring.

Dia masih belum lagi memecahkan 10 saat untuk acara 100 meter atau 20 saat untuk acara 200m musim ini, dengan Kejohanan Dunia di Beijing yang merupakan perlumbaan tahunan paling penting bermula dari 22 hingga 30 Ogos nanti. Pelbagai sumber telah mengesahkan bahawa Bolt akan bertanding dalam acara 100m di Jamaica sebagai persediaan untuk Beijing.

Saringan acara 100m akan diadakan pada Khamis serentak dengan hari pembukaan kejohanan Jamaica selama empat hari di Stadium Nasional di Kingston, dengan separuh akhir dan akhir pada Jumaat.

Usain bolt berjabat tangan dengan peminat selepas menjuarai acara 200 meter di New York 13 Jun lalu. – Reuters
Usain bolt berjabat tangan dengan peminat selepas menjuarai acara 200 meter di New York 13 Jun lalu. – Reuters

Jika dia berjaya ke final, Bolt akan bersaing dengan bekas pemegang rekod dunia, Asafa Powell dan Yohan Blake, juara dunia 100m 2011 yang sedang berjuang kembali daripada kecederaan.

Pada 13 Jun, Bolt mencatat masa 20.29saat yang mengecewakan untuk memenangi acara 200m New York Diamond League.

Selepas itu beliau berkata dia mungkin perlu mempertimbangkan penyertaan di Jamaica supaya cukup cergas untuk bersaing di Beijing nanti.