Usain Bolt dapat gelang selepas dilanggar wartawan

Usain Bolt dapat gelang selepas dilanggar wartawan

BEIJING, 30 Ogos (AFP) – Usain Bolt menerima gelang tangan daripada petugas televisyen yang melanggarnya dengan kenderaan dua roda secara tidak sengaja, selepas memenangi acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia di sini, pada Jumaat lalu.

Gelang itu diberikan oleh Tao Song itu semalam sebagai tanda simbolik memohon kemaafan atas tindakannya melanggar pelari pecut berkenaan dari arah belakang ketika sedang membuat rakaman kejayaannya itu sambil menaiki Segway.

Ketika kejadian Bolt yang berdiri sambil berkaki ayam sedang menerima tepukan gemuruh daripada penonton Stadium Sarang Burung selepas memenangi emas acara pecut itu, apabila jurukamera terbabit tiba-tiba tidak dapat mengawal kenderaan dinaikinya itu.

Bolt bertemu dengan jurukamera televisyen itu sejurus selepas menerima medal emas 200 meter. Mereka dilihat bersalam sambil Song berkata sesuatu kepada pelari pecut itu.

Bolt (kanan) menerima gelang daripada Song Tao yang melanggarnya dari belakang secara tidak sengaja sebaik selesai menyertai acara 200 meter, Jumaat lalu. – Reuters
Bolt (kanan) menerima gelang daripada Song Tao yang melanggarnya dari belakang secara tidak sengaja sebaik selesai menyertai acara 200 meter, Jumaat lalu. – Reuters

Ia kemudian disusuli dengan jurukamera berkenaan memberikannya gelang tangan sebagai tanda simbolik permohonan maaf yang kemudian dibalas dengan senyuman dan ketawa kecil oleh Bolt. Song kemudian memasang sendiri gelang berkenaan di tangan Bolt.

Kejadian Song melanggar Bolt itu sempat dirakamkan oleh individu yang berada berhampiran dan menjadi viral tidak lama selepas itu menerusi media sosial.

Selepas kejayaan 200 meter Khamis lalu, Bolt kemungkinan akan menamatkan kerjayanya sebaik temasya Sukan Olimpik Rio 2016 berakhir.

Pelari pecut unggul dari Jamaica ini berkata, dia masih belum buat keputusan untuk menyertai kejohanan dunia di London pada 2017 kerana kemungkinan bakal bersara selepas temasya sukan di Brazil itu.