Usain Bolt kecewa

Usain Bolt kecewa

BEIJING, 21 Ogos (Reuters) – Pemenang pingat emas Olimpik dan juara dunia, Usain Bolt mengakui kecewa dengan fokus diberikan terhadap isu doping dalam sukan olahraga yang disifatkan membayangi kemeriahan Kejuaraan Dunia 2015 di Beijing.

Jaguh pecut Jamaica itu, berkata untuk menyelamatkan sukan itu, ia perlu mendapat kerjasama semua atlet untuk bebas daripada penggunaan bahan terlarang dan bukan hanya dirinya.

Badan induk Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menghabiskan tiga minggu menjelang kejohanan berprestij itu yang akan membuka tirainya, dua hari lagi dengan mempertahankan rekod membabitkan doping selepas beberapa kes memalukan membabitkan sukan itu didedahkan.

“Ia benar-benar mendapat tumpuan utama,” kata Bolt ketika sidang media, hari ini. “Semua yang saya dengar ialah membabitkan doping, doping, doping dan semua soalan membabitkan doping. Ia menyedihkan kerana ia melebihi Kejuaraan Dunia dan bukannya kejohanan itu. Tiada apa yang dapat saya lakukan mengenainya.”

Di tengah-tengah krisis doping yang melanda IAAF, pertembungan membabitkan Bolt yang tidak pernah gagal dalam ujian doping dan lawannya dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin yang pernah menjalani dua penggantungan kerana pengambilan bahan terlarang dianggap ‘jiwa’ Kejuaraan Dunia kali ini.

Reaksi Usain Bolt semasa sidang akhbar di Beijing, 20 Ogos lalu. – AFP
Reaksi Usain Bolt semasa sidang akhbar di Beijing, 20 Ogos lalu. – AFP

Kes kedua Gatlin pada 2006 sepatutnya membawa kepada penggantungan seumur hidup namun selepas dia bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa anti doping, ia dikurangkan kepada lapan sebelum dikurangkan lagi kepada empat.

Bolt yang menginjak usia 29 tahun, esok berkata dia tiada masalah untuk bersaing dengan Gatlin seandainya bekas juara Olimpik dan dunia itu boleh beraksi. Malah, Bolt turut menolak sebagai bintang utama sukan olahraga, dia mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkannya.

“Sebenarnya, saya berlumba untuk diri saya, itulah yang saya lakukan,” katanya. Orang berkata saya perlu menang untuk sukan ini namun ada ramai atlet di luar sana yang berlari dalam keadaan bersih, dan bersih sepanjang karier mereka.

“Saya tidak dapat melakukan seorang diri, ia tanggungjawab untuk semua atlet bagi menyelamatkan sukan ini dan pergi bersaing tanpa penggunaan penipuan membabitkan dadah,” kata Bolt yang mengakui gembira dengan prestasi semasanya menjelang aksi di Stadium Sarang Burung di Beijing itu.