Usain Bolt sasar rekod baru

Usain Bolt sasar rekod baru

NEW YORK, 20 April (Reuters) – Lelaki terpantas dunia, Usain Bolt menyasarkan untuk mencipta legasi dengan memenangi acara larian ketiga berturut-turut pada Sukan Olimpik Rio, Ogos depan. Malah, dia turut meletakkan sasaran tinggi untuk melakukan pecutan bawah 19 saat dalam acara 200 meter (m).

Atlet Jamaica itu menjelaskan betapa dia mungkin tidak berhenti di situ, tetapi terus membuka peluang untuk melanjutkan kariernya hingga musim 2017 dan berkata ia akan menjadi yang terakhir.

Bolt sudah memenangi acara 100 dan 200m dalam dua Sukan Olimpik sebelum ini dan menambah emas dalam acara lari berganti 4×100 di Beijing (2008) dan London (2012) bersama rakan sepasukan Jamaica.

“Hanya untuk mempertahankan kemenangan saya, untuk melakukan yang ketiga berturut-turut. Itulah matlamat utama saya. Itulah fokus utama saya,” kata Bolt kepada Reuters.

Usain Bolt berhasrat dapat memenangi dalam acara larian di Sukan Olimpik Rio pada Ogos depan. – AFP
Usain Bolt berhasrat dapat memenangi dalam acara larian di Sukan Olimpik Rio pada Ogos depan. – AFP

“Matlamat kedua saya untuk cuba dan lakukan bawah 19 saat,” kata Bolt yang mencipta rekod 200m dunia dengan 19.19 saat pada tahun 2009. Itu sesuatu yang saya benar-benar mahu dan harap semuanya berjalan lancar, saya boleh mendapatkannya. Ia akan menjadi satu langkah yang besar bagi saya.”

Bolt berkata, dia secara beransur-ansur kembali kepada prestasi sebenar selepas mengalami masalah kecederaan buku lali.

“Saya rasa OK,” katanya. “Jurulatih saya mengatakan kecergasan saya belum mencapai tahap yang diinginkan. Bermula musim ini saya mempunyai masalah dengan pergelangan kaki dan ia adalah satu halangan tetapi tidak teruk. Ia akan kembali kepada landasan dan dia gembira dengan kemajuan yang saya lakukan.”

ARTIKEL YANG SAMA