USBO pinda perlembagaan

USBO pinda perlembagaan

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) – Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) telah meminda perlembagaannya untuk menukar namanya kepada Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah dalam usahanya untuk memperkukuh dan memperluas skop dan fungsi pertubuhan.

Presiden USBO Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak berkata pindaan itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerusi surat bertarikh 27 Mei tahun ini dan diterima baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya nama singkatannya kekal sebagai USBO, tetapi perkataan Bajau ditukar kepada Bumis yang definisinya merujuk kepada kaum Bajau, Ubian, Melayu, Iranun dan Suluk.

“Pindaan ini dibuat untuk menyesuaikan skop dan fungsi persatuan serta memperjuangkan kepentingan semua kaum di bawah naungan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.