USDP Myanmar luah rasa kesal

USDP Myanmar luah rasa kesal

YANGON, Myanmar, 26 Jun (Agensi) – Parti pemerintah Myanmar, Parti Kesatuan Solariditi dan Pembangunan (USDP) melahirkan rasa kesal berhubung keputusan pengundian rang undang-undang pindaan perlembagaan, yang dikemukakan parti itu kepada parlimen, menurut akhbar parti, Union Daily, keluaran hari ini.

Dari sejumlah cadangan bagi enam seksyen utama perlembagaan, hanya satu seksyen diluluskan, sementara lima yang lain dikenakan veto pada semalam tatkala jumlah pengundi kekal kurang berbanding 75 peratus yang diperlukan untuk mendapatkan kelulusan bagi sesuatu rang undang-undang.

USDP berkata rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi enam seksyen yang dikemukakan tepat pada masanya bagi kepentingan negara dan rakyat tetapi menerima tentangan.

Parti akan terus berusaha untuk mendapatkan hak rakyat, tambah kenyataan itu.

Sementara itu, pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) Aung San Suu Kyi ketika mengulas keputusan undian itu menyatakan walaupun cadangan pindaan perlembagaan oleh USDP tidak cukup berkesan untuk membantu pembaharuan negara, namun memveto pindaan itu membayangkan keengganan bagi pembaharuan.

Sambil menafikan kegagalan untuk meminda majoriti seksyen perlembagaan itu sebagai saru kekalahan, Aung San Suu Kyi menjelaskan isu pindaan tidak akan memberi impak ke atas partinya menjelang pilihan raya umum kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.

Selepas perdebatan selama tiga hari, parlimen Myanmar pada semalam memveto pindaan ke atas lima seksyen utama perlembagaan, 59 (f), 436 (a), 436 (b), 60 (c) dan 418 (b) kecuali bagi Seksyen 59 (d) berkaitan dengan kelayakan bagi calon presiden.

Melalui sistem undi rahsia, pengundian dilakukan oleh 583 ahli parlimen dari sejumlah 633 kesemuanya. Dari sejumlah 583 ahli parlimen itu, 166 orang dilantik secara langsung oleh tentera tanpa dipilih rakyat.

ARTIKEL YANG SAMA