Usia bukan penghalang untuk berbakti

Usia bukan penghalang untuk berbakti

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Ogos – “Biarpun usia sudah lanjut, selagi badan sihat, kerja-kerja kemasyarakatan sentiasa dihati,” itulah yang dikatakan oleh ahli warga emas Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) yang telah menerima Sijil Penghargaan bagi ahli-ahli SUKA.

Biarpun sudah berusia 70 tahun, Haji Metamit bin Haji Mat Zin @ Haji Tengah masih lagi mampu dan aktif menyertai aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, yang dilakukannya sejak remaja lagi.

Sebelum menjadi ahli SUKA, beliau pernah mengikuti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan kampung dan masjid di Kampong Ayer memandangkan beliau berasal dari sana.

Pada tahun 1965, beliau mula mengikuti Persatuan Perpindahan Kampong Ayer (PERKA) dan seterusnya mengikuti beberapa persatuan lain seperti Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), Majlis Belia Brunei, Badan Kesenian dan Kebudayaan Daerah Tutong (B2K), PAKATAN, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Lamunin, Sukarelawan JAPEM Daerah Tutong (2009-2013), Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB), dan Koperasi Kampung dan Mukim (KOKAMI).

Pada tahun 2015, beliau mengikuti SUKA pengambilan kedua bersama isterinya, Hajah Zaimah binti Haji Mohd Noor kerana mereka suka mengikuti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Haji Metamit dan isterinya, Hajah Zaimah berharap mereka dapat sentiasa berkhidmat dalam memberikan kebajikan dan menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Haji Metamit dan isterinya, Hajah Zaimah berharap mereka dapat sentiasa berkhidmat dalam memberikan kebajikan dan menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Menurut Haji Metamit, walaupun hampir setahun mengikuti aktiviti SUKA, beliau dan isteri tidak menyangka mereka akan menerima anugerah penghargaan ahli SUKA, pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat SUKA, Jalan Sungai Basong, Tutong, semalam. Haji Metamit dan isteri yang merupakan bekas guru berkata, keterlibatan mereka sebagai ahli SUKA ini adalah kerana ingin mengajar dan membantu para belia untuk sama-sama menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Memandangkan para belia tidak banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, kami sebagai warga emas dapat membantu serta menyalurkan kerjasama dan dorongan mereka dalam sama-sama mendirikan dan mempertahankan kerja-kerja kebajikan ini,” ujar beliau.

Walaupun usia mereka yang sudah lanjut dan perlu beristirahat, namun mereka tidak suka duduk diam dan sentiasa berkhidmat dalam membuat kerja-kerja kemasyarakatan yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan atau pertubuhan, katanya.

Namun dalam menjalankan kerja-kerja atau aktiviti kemasyarakatan ini, beliau menasihati agar kita tidak boleh bersifat egois dan angkuh kerana kerja-kerja kemasyarakatan ini perlu ada rasa tanggungjawab semua pihak seperti tolong-menolong dan bekerjasama dalam setiap pasukan atau ahli.

Oleh itu, beliau berharap dengan mengikuti aktiviti-aktiviti kemasyarakatan ini, ia juga boleh menyumbangkan kepada pahala dalam sama-sama membantu golongan yang kurang berkemampuan atau golongan yang memerlukan dengan ikhlas.

ARTIKEL YANG SAMA