Usia muda disia-siakan

Usia muda disia-siakan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Mahkamah Perantaraan di sini, menjatuhkan hukuman penjara selama 40 bulan dan dua sebatan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun kerana kesalahan pecah masuk rumah dan curi.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain memerintahkan hukuman ke atas Muhammad Afiqe’n bin Karim dikuatkuasakan hari ini di mana hakim turut mengeluarkan waran tangkap terhadap rakan sejenayahnya, Haji Maswadi bin Pungut/Ismail, 34, yang tidak hadir ke mahkamah untuk sebutan hukuman.

“Saya tidak mahu melihat muka kamu di mahkamah ini lagi,” kata hakim sambil menasihatkan tertuduh untuk tidak membazirkan usia mudanya dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah selepas keluar dari penjara kelak.

pg06_160331_mahkamah logo2

Kedua-dua mereka didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Lambak Kanan antara 10 dan 11 Oktober 2015, sebuah rumah di Kampung Subok pada 24 November 2015 dan sebuah rumah di Kampung Sungai Hanching antara 22 dan 23 Januari 2016.

Mereka didakwa mencuri pencetak Canon; kotak kuning (cenderamata) dari Istana Nurul Iman; kunci kereta Mazda dan Nissan; kunci Yale; syiling Brunei; kotak duit; beg merah; empat cincin; beg diplomat; koleksi beg; kotak mengandungi gelang; kotak Sheaffer; beg merah jambu; tiga sudu kuning, kotak berwarna coklat dan pen Manchester United.

Terdahulu, Muhammad Afiqe’n mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi tuduhan pecah masuk rumah dan curi di sebuah rumah di Kampung Subok pada 17 Januari 2016.

Hakim Pengiran Hajah Hanani kemudian menetapkan 19 hingga 22 September untuk perbicaraan Muhammad Afiqe’n.

ARTIKEL YANG SAMA