Utamakan aspek keselamatan

Utamakan aspek keselamatan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Jabatan Penerbangan Awam perlu menyusun semula strategi dan lebih fokus dalam usaha untuk menjadikan sektor penerbangan awam di Negara Brunei Darussalam sebuah sektor yang berdaya tahan dari segi ekonomi, sentiasa segar dan selamat dalam industri pengangkutan udara yang sentiasa berubah-ubah.

Ini kerana walaupun sumbangan sektor itu ke arah keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada masa ini adalah di bawah dua peratus, berbanding sasaran empat peratus, aspek keselamatan dan sekuriti tetap menjadi keutamaan yang penting dalam operasi dan pembangunan pengangkutan udara antarabangsa, dan tidak boleh dipandang ringan dalam pertimbangan aspek ekonomi.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar ketika berucap pada perasmian Bengkel Cabaran Keselamatan dan Sekuriti yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan Kementerian Perhubungan, hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan adalah paling selamat dan mematuhi amalan terbaik antarabangsa, satu rangka kerja kawal seliaan ekonomi dan keselamatan yang menyeluruh, penambahbaikan sistem yang berterusan, budaya, proses dan pembangunan modal insan perlu dirangka.

“Saya amat bersukacita kerana di dalam Aspirasi Pengangkutan Udara 2035, Jabatan Penerbangan Awam telah menyasarkan tahap mematuhi aspirasi yang ditetapkan oleh Program Audit Keselamatan Universal (USOAP) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada tahap 80 peratus menjelang 2017 dan tahap 100 peratus menjelang 2020,” ujarnya.

Tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian bengkel.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian bengkel.
Antara kakitangan kerajaan yang mengikuti bengkel dua hari itu.
Antara kakitangan kerajaan yang mengikuti bengkel dua hari itu.

Menurutnya, dengan menumpukan khusus kepada aspek keselamatan, beberapa elemen penting berkaitan sistem keselamatan perlu dipatuhi kerana ia merangkumi keseluruhan spektrum keselamatan penerbangan awam yang termasuk kawasan seperti aerodrom, kawalan trafik udara, perhubungan, perlesenan kakitangan, operasi penerbangan, keselamatan pesawat untuk terbang, penyiasatan kemalangan/insiden dan pengangkutan barang berbahaya melalui udara.

Ketika berucap beliau juga menyuarakan rasa gembira Jabatan Penerbangan Awam telah pun mengambil beberapa langkah untuk menangani cabaran-cabaran tersebut dengan memodenkan rangka kerja kawalan selia, memodenkan kemudahan di terminal lapangan terbang, navigasi dan sistem pengurusan trafik udara dalam usahanya untuk mempertingkatkan lagi keselamatan dan perkhidmatan pengangkutan udara.

Ujarnya lagi, inisiatif itu serta program pembaharuan pengangkutan udara masa depan merupakan objektif strategik Jabatan berkenaan ke arah mencapai Aspirasi Pengangkutan Awam 2035.

Inisiatif itu juga dijangka akan menyerlahkan satu jangkauan yang signifikan dalam pertumbuhan ekonomi, perhubungan dan keyakinan dalam keselamatan dan sekuriti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam kelestarian ekonomi sebuah industri penerbangan awam.

Bengkel Cabaran Keselamatan dan Sekuriti selama dua hari itu adalah sebahagian daripada objektif yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 27 November 2014 di Mandalay, Myanmar antara Kementerian Perhubungan yang mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pengangkutan Republik Singapura yang mewakili negara itu.

Hadir sama pada perasmian bengkel itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Yunos dan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura, Yap Ong Heng dan Pemangku Pengarah Penerbangan Awam Negara Brunei Darussalam, Haji Mohammad Nazri bin Mohammad Yuof.

ARTIKEL YANG SAMA