Utamakan kesejahteraan pekerja

Utamakan kesejahteraan pekerja

TEMBURONG, 12 Okt – Majikan, pengurus dan penyelia hendaklah mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan ke atas pekerja mereka dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan produktif.

Mereka juga perlu menyediakan kontrak perkhidmatan kerana melalui pemeriksaan Jabatan Buruh, sering mendapati mereka gagal menyediakan kontrak perkhidmatan khususnya bagi pekerja-pekerja tempatan.

Perkara berkenaan dinyatakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa dialog dalam Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam oleh Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong, di sini.

Dialog yang turut dipengerusikan oleh Haji Rani itu turut disertai oleh para pegawai daripada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang dan Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja.

Jerayawara ini juga diadakan untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai terutama majikan dan pekerja dalam sektor swasta mengenai Undang-undang dan Peraturan Perburuhan di negara ini, yang diselajurkan dengan pengagihan buku-buku ‘Panduan Undang-undang dan Peraturan Pekerjaan di Negara Brunei Darussalam’.

Haji Rani mempengerusikan Dialog Undang-undang Buruh di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar.
Haji Rani mempengerusikan Dialog Undang-undang Buruh di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar.
Sebahagian daripada majikan yang turut berdialog semasa majlis Jerayawara Undang-undang Buruh.
Sebahagian daripada majikan yang turut berdialog semasa majlis Jerayawara Undang-undang Buruh.

Buku tersebut merupakan versi kedua diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang mengandungi maklumat ringkas Perintah Pekerjaan 2009, Perintah Agensi Pekerjaan 2004, Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009, Akta Pampasan Pekerja 1957, dan Akta Maklumat Pekerjaan 1974 serta Senarai Semak Majikan Dalam Penyediaan Kontrak Perkhidmatan, Contoh Kontrak Perkhidmatan dan Tatacara Membuat Aduan bagi Sebarang Pertikaian Perburuhan.

Dialog diakhiri dengan sesi soal jawab di antara Pemangku Pesuruhjaya Buruh, para pegawai daripada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang dan Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja bersama para majikan. – Noorhamizan Haji Mohd Mosbi