Utara, Selatan capai persetujuan

Utara, Selatan capai persetujuan

SEOUL, 25 Ogos (Reuters) – Korea Utara dan Korea Selatan awal hari ini bersetuju menamatkan pertelagahan ketenteraan yang mencetuskan tindakan berbalas-balas tembakan meriam dan telah menambah ketegangan di salah sebuah sempadan di dunia yang paling dikawal ketat.

Di bawah perjanjian yang dicapai awal hari ini, selepas rundingan lebih dua hari, Korea Utara melahirkan kekesalan berhubung kecederaan tentera Korea Selatan baru-baru ini dalam letupan periuk api dan Seoul bersetuju menghentikan penyiaran propaganda anti-Pyongyang.

Korea Utara juga bersetuju untuk menamatkan keadaan ‘separa’ peperangan yang telah diisytiharkannya. Kedua-dua belah pihak akan mengadakan rundingan susulan untuk membincangkan pelbagai isu berhubung memulihkan hubungan, menurut kenyataan bersama.

“Adalah amat bermakna, dari rundingan ini Korea Utara memohon maaf di atas provokasi periuk api dan berjanji akan menghalang berulangnya lagi peristiwa sedemikian dan mengurangkan ketegangan,” kata Kim Kwan-jin, penasihat keselamatan kebangsaan kepada Presiden Korea Selatan Park Geun-hye, yang mengetuai delegasi Seoul.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan Kim Kwan-jin (kanan), Menteri Penyatuan Korea Selatan Hong Yong-pyo (dua kanan), Setiausaha Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea Kim Yang Gon (dua kiri) dan Hwang Pyong-so (kiri), penasihat tentera tertinggi kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berjabat tangan selepas rundingan peringkat tertinggi antara Korea di Kampung Panmunjom. – Reuters
Penasihat Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan Kim Kwan-jin (kanan), Menteri Penyatuan Korea Selatan Hong Yong-pyo (dua kanan), Setiausaha Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea Kim Yang Gon (dua kiri) dan Hwang Pyong-so (kiri), penasihat tentera tertinggi kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, berjabat tangan selepas rundingan peringkat tertinggi antara Korea di Kampung Panmunjom. – Reuters

Pyongyang menafikan menanam periuk api dan dalam kenyataan itu secara terus terang tidak mengaku bertanggung jawab ke atasnya. Bagaimanapun sebarang luahan kekesalan oleh Korea Utara, lebih dikenali dengan retoriknya yang suka berperang, adalah luar biasa.

Rundingan memenatkan di kampung keamanan sementara Panmunjon di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua negara bermula Sabtu lalu, sejurus selepas had akhir Pyongyang bagi Korea Selatan untuk menghentikan penyiaran propagandanya atau berdepan tindakan ketenteraan.

“Kedua-dua negara telah mencapai kesepakatan. Korea Selatan tidak mendapat permohonan maaf, ia mendapat kenyataan kekesalan tentang kecederaan, yang boleh dianggap sebagai permohonan maaf,” kata John Delury dari Universiti Yonsei di Seoul.

“Perkara paling penting ialah mengekalkan saluran ini dan membina semula hubungan. Ini tidak mudah untuk dilaksanakan tetapi ia adalah perjanjian bersejarah yang merentangkan laluan.”