UTB anjur Bazar Buku

UTB anjur Bazar Buku

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Bersempena Ulang Tahun Penubuhan Universiti Teknologi Brunei (UTB) ke-30 tahun, Perpustakaan UTB telah menganjurkan Bazar Buku Perpustakaan UTB (ULBB) di Level 1, Perpustakaan UTB, di mana ia akan berlangsung sehingga 21 April ini.

Sebanyak 11 pembekal buku dari dalam dan luar negara ikut serta dalam bazar berkenaan dengan empat daripadanya adalah dari agensi kerajaan iaitu Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Pusat Sejarah Brunei dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Manakala itu, enam lagi merupakan pembekal buku tempatan iaitu Asfi Book World Sdn Bhd, Book Lane Enterprise, Early Childhood Publications Co., Samima Sdn Bhd, The Story Shop dan Umitech Books Distribution, serta satu dari luar negara iaitu United Technology (M) Sdn Bhd.

Di bazar itu juga, peminat-peminat buku juga bolehlah mendapatkan buku terpakai yang masih lagi dapat digunakan pada harga serendah $1.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemangku Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah menyampaikan sijil penghargaan kepada Pemangku Ketua Pengarah Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim.
Buku-buku terpakai juga boleh diperolehi di bazar tersebut pada harga yang murah.
Buku-buku terpakai juga boleh diperolehi di bazar tersebut pada harga yang murah.

Bazar selama tiga hari itu antara lain bertujuan memeriahkan lagi suasana Ulang Tahun Penubuhan UTB ke-30 tahun, di samping memberi peluang kepada para pengunjung berkomunikasi dengan peserta-peserta bazar dalam mencari buku yang disukai dan berkaitan dengannya.

Orang ramai khususnya ahli-ahli akademik, pensyarah, kakitangan sekolah dan pelajar-pelajar adalah dialu-alukan berkunjung ke bazar berkenaan dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Turut hadir menyaksikan bazar tersebut dan seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta-peserta bazar petang tadi ialah Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Objektif bazar ini diadakan adalah untuk memperkenalkan aktiviti-aktiviti perpustakaan kepada orang ramai khususnya para pelajar dan pensyarah akademik, serta untuk menggalakkan pengunjung-pengunjung terutama pelajar dan ahli-ahli akademik hadir menyaksikan dan mengetahui buku-buku keluaran terbaru dan mencari buku yang bersesuaian sebagai bahan rujukan mereka di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya ilmu pengetahuan dan memperkasa budaya membaca.

ARTIKEL YANG SAMA