UTB guna logo rasmi

UTB guna logo rasmi

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Bersempena Pertukaran nama Institut Teknologi Brunei ke Universiti Teknologi Brunei (UTB) baru-baru ini, UTB sudah mula menggunakan logo rasmi UTB.

Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib ketika ditemu bual menjelaskan, UTB sudah pun mula menggunakan logo rasminya sejak Pertukaran nama ITB diubah ke UTB pada 26 Mac yang lalu.

Logo baru UTB itu hasil gabungan daripada dua konsep asal yang mendapat undian tertinggi dalam pertandingan Mencipta Logo Baru yang dijalankan pada 8 hingga 19 Mac 2016 yang dihasilkan oleh Dayang Noor ‘Izzati binti Haji Mohd Allinoor, dari Bahagian Penerbitan Mushaf, UTB dan Awang Muhammad Naqiuddin Ihsan bin Awang Mat Japar, yang merupakan mahasiswa dari Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, UTB.

Sebanyak 74 penyertaan (konsep logo) telah diterima daripada warga UTB dan pemenang pertandingan dipilih melalui undian yang juga dibukakan kepada warga UTB.

Logo lama yang sudah pun menjangkau usia 30 tahun itu telah pun diubah mengikut kesesuaian pertukaran nama Universiti Teknologi Brunei dan perubahan logo tersebut dapat dilihat menerusi warna, reka bentuk dan cogan katanya yang baru.

Haji Ady Syarmin ketika ditemu bual lanjut mengenai logo rasmi UTB.
Haji Ady Syarmin ketika ditemu bual lanjut mengenai logo rasmi UTB.
Logo rasmi UTB yang sudah mula digunakan.
Logo rasmi UTB yang sudah mula digunakan.

Haji Ady menjelaskan, ‘Berilmu, Beriman dan Berinovasi’ merupakan cogan kata yang dipilih untuk menghiasi logo UTB dan juga sebagai penyuntik semangat dalam usaha membentuk para pelajar yang mempunyai ketiga-tiga ciri tersebut.

Menurutnya, graduan yang mempunyai ciri-ciri ini, diyakini mampu menjadi aset yang berharga dalam mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir dan juga sebagai mencapai Wawasan Negara 2035.

Manakala itu, penggunaan UTB dalam Bahasa Jawi menggambarkan kepentingan bahasa itu sebagai tulisan kitab suci Al-Quran dan juga unsur Bahasa Melayu.

Kedudukannya di tempatkan paling atas dalam reka bentuk logo UTB melambangkan martabatnya yang tinggi selaras dengan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja.

Panji-panji pula melambangkan status UTB sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam di Negara Brunei Darussalam. Kedudukannya di tengah-tengah logo menunjukkan paksi kewujudan UTB, sebagai fungsinya untuk mendokong kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga sebagai aspirasi negara.

Sementara itu, reka bentuk roda gigi melambangkan identiti UTB sebagai sebuah universiti kejuruteraan dan teknologi yang dinamik. Alat kejuruteraan yang dipaparkan itu berfungsi menunjukkan UTB sebagai sebuah institusi yang bersedia berganding bahu dan bekerjasama secara strategik dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain demi kepentingan negara.

Angka tahun 1986 yang dipaparkan menerusi Logo terbaru UTB pula bagi mengenang sejarah penubuhannya iaitu pada 1 Januari 1986 sebagai Institut Teknologi Brunei (ITB).

Akronim bagi UTB iaitu huruf U, T, dan B diolah secara geometri menjadi berbentuk lingkaran bulat yang menggambarkan usaha UTB untuk menjadikan graduan UTB sebagai insan-insan wasatiyyah yang berilmu, berkemahiran, berakhlak, bertanggungjawab dan serba boleh.

Manakala itu, warna yang dimasukkan ke dalam logo ialah warna biru tua yang dipilih untuk mencerminkan ciri-ciri kestabilan dan profesionalisme, warna unggu pula menunjukkan daya kreativiti dan inovasi; dan warna hijau kekuningan (lime green) pada nama Universiti Teknologi Brunei pula melambangkan kebeliaan, dinamik dan serba boleh.

Pada 18 Oktober 2008, ITB secara rasmi telah dinaiktarafkan kepada universiti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sejak itu, perkembangan UTB termasuk perkembangan portfolio program akademiknya, menubuhkan perkongsian dengan industri dan universiti, akreditasi program oleh badan-badan profesional dan meningkatkan aktiviti penyelidikan.

UTB kini menawarkan 20 program Ijazah Sarjana Muda dan lima program Sarjana secara Kerja Kursus (Taught Masters Programmes) serta program Sarjana melalui Penyelidikan dan program-program PhD.

ARTIKEL YANG SAMA