UTB sertai ATU-Net

UTB sertai ATU-Net

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menjadi salah satu anggota pengasas Rangkaian Universiti Teknologi Asia (ATU-Net) bersama dengan universiti-universiti lain dari Malaysia, Thailand, Korea, Jepun, Indonesia, India dan China, baru-baru ini.

Pelancaran rangkaian itu telah dirasmikan semasa Forum Presiden Universiti ke-8 (UPF) 2016 yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 9 Ogos lalu.

Forum itu telah dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dihoskan bersama oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Southampton, dan Institut Maritim Teknologi, Netherlands.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini, UPF merupakan satu platform untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pendidikan tinggi dan menggariskan strategi serta pelan tindakan untuk meningkatkan kolaborasi dan kerjasama dalam kalangan universiti-universiti terlibat.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah (kanan) semasa pelancaran ATU-Net.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah (kanan) semasa pelancaran ATU-Net.

Sementara itu, sebagai rangkaian universiti antarabangsa, ATU-Net juga berhasrat untuk memperkukuhkan usaha penyertaan universiti-universiti dan mewujudkan perikatan aktif dan efektif dalam penyelidikan dan pendidikan menerusi UPF.

Juga pada majlis yang sama, UTB telah memperbaharui hubungan rasmi dengan UTM dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyediakan satu platform bagi kolaborasi akademik dan penyelidikan, termasuk mobiliti kakitangan dan pelajar antara kedua-dua universiti.

MoU ditandatangani oleh Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, dan Naib Canselor UTM, Profesor Ir. Datuk Dr. Wahid Omar.

Menurut ranking QS pada 2016, UTM berada di tangga ke-63 di Asia dan ketiga teratas di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA