UTC mercu tanda baru bandar Tawau

UTC mercu tanda baru bandar Tawau

TAWAU, 14 Sept – Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang mula beroperasi pada 15 Ogos lalu di sini adalah mercu tanda baharu bandar Tawau selain transformasi signifikan dalam memudahkan urusan rasmi masyarakat dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam masa lebih singkat di bawah satu bumbung.

Ini berikutan UTC Tawau yang menempatkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Air itu beroperasi setiap hari mulai 8 pagi hingga 9 malam kecuali pada cuti umum dan cuti peristiwa.

Seorang penduduk Nasrul Wahidin, 24, berkata UTC Tawau banyak memberi manfaat dan kelebihan kepada penduduk di bandar itu kerana mereka hanya perlu tertumpu kepada satu tempat sahaja dalam menguruskan hal-hal rasmi berkaitan kerajaan seterusnya menjimatkan masa dan kos mereka.

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau memberi banyak kemudahan penduduk bahagian Pantai Timur Sabah. – Bernama
Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau memberi banyak kemudahan penduduk bahagian Pantai Timur Sabah. – Bernama

“Selain daripada itu, penduduk terutama para kaum ibu juga boleh terus pergi ke pasar membeli barang keperluan selepas berurusan,” kata pemuda yang menetap di Tanjung Batu itu kepada Bernama baru-baru ini.

UTC Tawau yang dahulu dikenali sebagai Pasar Tanjung diubah suai pada Mei lalu dan kini telah menjadi kompleks bersepadu yang menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain turut merangkumi pasar di bahagian bawah bangunan. – Bernama