UTC Tawau beroperasi 15 Ogos Ini

UTC Tawau beroperasi 15 Ogos Ini

TAWAU, 25 Julai – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau akan mula beroperasi pada 15 Ogos ini, kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus Sipil.

Beliau berkata kunci premis di UTC berkenaan akan diserahkan secara berperingkat bermula hari ini kepada agensi yang bakal beroperasi di situ, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Air, Perbadanan Pinjaman Sabah dan Jabatan Imigresen.

“Manakala kunci untuk perniagaan lain seperti kedai makan akan diserahkan pada 16 Ogos ini dan mereka akan beroperasi dua hari kemudian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengurusan MPT, di sini hari ini.

Beliau berkata satu mesyuarat yang melibatkan agensi-agensi yang terlibat telah diadakan dan kesemua agensi berkenaan berpuas hati tetang kemudahan yang ada di kawasan UTC itu.

“Kita amat berpuas hati dengan prasarana yang disediakan oleh pihak kontraktor dan kita difahamkan bahawa kontraktor berkenaan masih mempunyai tanggungjawab selama setahun ke atas bangunan itu,” katanya. – Bernama