UTM sedang kaji tubuh cawangan baharu di Sabah

UTM sedang kaji tubuh cawangan baharu di Sabah

KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan cawangan baharu di Sabah, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Wahid berkata lokasi dan kawasan untuk membina cawangan baharu UTM itu sudah dikenal pasti yang dicadangkan di Sandakan kerana ia adalah hab pendidikan di negeri berkenaan.

Beliau, bagaimanapun berharap kerajaan Sabah akan dapat menyalurkan dana dalam membangunkan kampus tersebut termasuk dari segi infrastruktur.

“Sekarang, kita perlu melihat dengan terperinci kerana kita memerlukan modal untuk menubuhkan kampus itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UTM dan Takasago Thermal Engineering (TTE) Co Ltd di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Sementara itu, Masidi bagi pihak kerajaan negeri mengalu-alukan hasrat UTM itu di Sabah kerana ia merupakan satu perkembangan yang sangat baik kepada negeri berkenaan terutamanya dalam pendidikan teknologi dan kejuruteraan.

Masidi mahu tiga sektor utama di Sabah seperti pembuatan, pertanian dan pelancongan adalah antara bidang yang ditawarkan di cawangan baharu UTM itupada masa hadapan.