Valencia ikat Barcelona

Valencia ikat Barcelona

MADRID, 6 Dis – Pengendali Barcelona, Luis Enrique berkata dia tiada alasan untuk mengkritik barisan pemainnya selepas pendahulu La Liga itu melepaskan jaringan penyamaan ketika terikat 1-1 dengan Valencia, awal pagi tadi.

Luis Suarez meneruskan sentuhan berbisanya untuk meletakkan juara Sepanyol dan Eropah itu di depan pada minit ke-59 di Mestella, namun kesilapan benteng pertahanan membolehkan Santi Mina menyamakan kedudukan, empat minit sebelum tamat perlawanan.

Barca mensia-siakan deretan peluang pada babak pertama, dengan Lionel Messi seakan kehilangan punca, tetapi Enrique berkata dia tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukannya.

“Tidak ada apa yang perlu dikecewakan kerana kami bermain di tempat yang sukar,” katanya kepada pemberita.

Lionel Messi berebut bola dengan pemain tengah Valencia Danilo Barbosa. - AFP
Lionel Messi berebut bola dengan pemain tengah Valencia Danilo Barbosa. – AFP

“Kami menguasai perlawanan ini,” tambah bekas legenda tengah Barca dan Sepanyol itu.

“Hari ini (pagi tadi) nasib tidak menyebelahi kami di atas segala usaha yang dilakukan kami. Pertahanan Valencia bekerja keras, mereka memanfaatkan peluang yang dicipta Paco Alcarer dan disudahkan dengan baik oleh Mina.”

Barca kini mengumpul 34 mata daripada 14 perlawanan, dua mata di depan Atletico Madrid, yang menewaskan Granada 2-0.

Real Madrid ketiga, dua mata di belakang Atletico, selepas mereka membelasah Getafe 4-1 di Bernabue.

Barca seterusnya akan membuat kunjungan ke Bayer Leverkusen dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini. – Reuters