Valencia menang tipis ke atas Lyon

Valencia menang tipis ke atas Lyon

PARIS, 30 Sept (AFP) – Valencia di bawah bimbingan jurulatih Nuno Espirito Santo yang kini menerima banyak kritikan meredakan sebahagian ketegangan itu dengan mempamerkan permainan yang memberangsangkan sekali gus mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Lyon pada Liga Juara-Juara Kumpulan H semalam.

Kejayaan itu membawa Valencia, yang ditumpaskan oleh Zenit St Petersburg pada pertemuan pertama mereka di gelanggang luar, menjadikan mereka di tempat kedua dalam kumpulan di belakang pasukan Rusia itu yang menang 2-1 ke atas kelab Belgium, Gent.

Lyon melakar beberapa peluang pada separuh masa pertama, tetapi dengan sebahagian penyudah yang kurang sempurna masih gagal meraih gol.

Percubaan terbaik mereka dibuat pada minit ke-27 apabila Mathieu Valbuena menyaksikan sepakan bebasnya pada jarak 25 ela berjaya ditepis penjaga gawang Valencia, Jaume Domenech.

Sofiane Feghouli (dua kiri) menanduk masuk bola ke pintu gawang Lyon di Stadium Gerland di Lyon, Perancis, pada 29 September 2015. – AFP
Sofiane Feghouli (dua kiri) menanduk masuk bola ke pintu gawang Lyon di Stadium Gerland di Lyon, Perancis, pada 29 September 2015. – AFP

Bagaimanapun Valencia berjaya meraih gol tunggal mereka tiga minit sebelum masa rehat apabila Sofiane Feghouli menerima hantaran lintang Pablo Piatti lalu menanduk masuk bola ke pintu gawang Lyon.

“Saya fikir kami mempunyai banyak peluang pada separuh masa pertama dan kemudian mempertahankan dengan baik pada separuh kedua dan saya percaya kejayaan ini memangnya milik kami,” kata Nuno.

ARTIKEL YANG SAMA