Valencia, Neville terus kecundang

Valencia, Neville terus kecundang

MADRID, 8 Feb – Valencia tewas lagi, kali ini kepada Real Betis 1-0 sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Gary Neville itu gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan dengan sembilan perlawanan di bawah kendalian bekas pemain Manchester United itu.

Valencia kini empat mata daripada zon penyingkiran dengan skuad kendalian Neville gagal bangkit daripada aksi memalukan selepas tewas 7-0 di tangan Barcelona pada aksi Copa Del Rey, pertengahan minggu lalu.

“Apa yang penting ialah keputusan yang baik. Kami tahu kami boleh mencatat kemenangan, namun buat masa ini, situasi tidak memihak kepada kita.

“Ia adalah persembahan di tempat lawan yang agak bagus. Saya akan terus percaya pada kemampuan pasukan ini dan perbincangan bersama pemilik kelab hanyalah antara saya dengan dia,” katanya.

Real Betis juga gagal mencatat kemenangan dalam sembilan aksi liga terdahulu, namun mereka boleh menarik nafas lega selepas selamat daripada zon penyingkiran apabila Ruben Castro menghukum kealpaan benteng pertahanan Valencia sehingga membolehkan dia meledak gol ke-10 musim ini.

Neville ketika bercakap pada sidang akhbar di Bandar Sukan, Valencia. Neville gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan dengan sembilan perlawanan di bawah kendalian bekas pemain Manchester United itu. - Reuters
Neville ketika bercakap pada sidang akhbar di Bandar Sukan, Valencia. Neville gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan dengan sembilan perlawanan di bawah kendalian bekas pemain Manchester United itu. – Reuters

Alvaro Negredo memiliki peluang terbaik untuk mengikat keputusan, namun usahanya itu berjaya diselamatkan Juan Manuel Vargas sebelum bola melepasi garisan gol.

Valencia seakan menunjukkan kebangkitan apabila melakukan asakan bertali arus ke gawang Valencia yang menunjukkan hasil namun jaringan Jorge Molina dibatalkan kerana ofsaid.

Tetapi harapan mereka untuk mencari gol penyamaan seakan pudar selepas pertahanan kiri, Jose Luis Gaya diarahkan keluar padang selepas menerima kad merah kerana melakukan terjahan berbahaya.

Malah, peluang Valencia mengikat kedudukan turut dinafikan di minit akhir perlawanan apabila tandukan Shkodran Mustafi sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid. – AFP