Valencia pecat Gary

Valencia pecat Gary

VALENCIA, 31 Mac (AFP) – Hanya selepas empat bulan, Gary Neville dipecat sebagai ketua jurulatih Valencia, demikian disahkan kelab Sepanyol itu, hari ini.

“Kelab Bola Sepak Valencia hari ini menamatkan khidmat Gary Neville sebagai ketua jurulatih,” kata kelab itu dalam satu kenyataan versi berbahasa Inggeris di laman webnya.

“Selepas menimbangnya dengan teliti, kelab memutuskan untuk melakukan perubahan demi kebaikan dan masa depan kelab.

“Kami berterima kasih kepada Gary kerana sumbangannya di Valencia dan kami mengucapkan yang terbaik untuk masa depannya.”

Pako Ayestaran, yang sebelum ini menjadi penolong jurulatih kepada Rafael Benitez di Mestalla, dilantik menggantikan tempat Neville sehingga akhir musim ini.

Gary dipecat selepas empat bulan berkhidmat sebagai jurulatih Valencia demi kebaikan dan masa depan kelab tersebut. – Reuters
Gary dipecat selepas empat bulan berkhidmat sebagai jurulatih Valencia demi kebaikan dan masa depan kelab tersebut. – Reuters

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bola Sepak Valencia, penyokong, kakitangan dan pemain,” kata Neville dalam satu kenyataan.

Ketika Neville meninggalkan kelab itu, Valencia kini menduduki tempat ke-14 dalam saingan La Liga, enam mata daripada zon penyingkiran dengan berbaki lapan perlawanan bagi musim ini.

Bekas pemain Manchester United berusia 41 tahun itu hanya memperoleh tiga kemenangan daripada 16 perlawanan liga semasa membimbing Valencia.

Perlawanan terakhirnya apabila kalah 2-0 kepada Celta Vigo di gelanggang sendiri minggu lalu.